Friday, December 27, 2024
23.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    UK mula percubaan minggu kerja 4 hari

    LONDON, 5 NOV – United Kingdom (UK) melancarkan percubaan pertama minggu kerja empat hari yang disokong kerajaan kelmarin, membolehkan lebih 1,000 pekerja bekerja dengan hari yang lebih sedikit tanpa pemotongan gaji.

    Sebanyak 17 syarikat, termasuk British Society for Immunology dan Crate Brewery, akan menguji jadual kerja yang lebih pendek, dengan beberapa memilih model kerja sembilan hari dalam dua minggu, lapor agensi Anadolu yang memetik The Guardian.

    Empat lagi syarikat dijangka menyertai projek perintis itu tidak lama lagi.

    Hasil percubaan selama enam bulan ini dijadualkan dibentangkan kepada Kerajaan Parti Buruh pada musim panas tahun depan.

    Hampir 200 syarikat di UK mengguna pakai jadual ini secara kekal sejak kempen ini dilancarkan pada 2022.

    Pemimpin Parti Buruh, termasuk Timbalan Perdana Menteri, Angela Rayner menyatakan sokongan terhadap konsep ini. Namun, parti itu masih belum menyokong dasar itu secara rasmi.

    Joe Ryle, Pengarah Kempen Minggu Kerja 4 Hari, menekankan kepentingan percubaan ini dengan menyatakan, “Kita tidak perlu lagi membayangkan minggu kerja empat hari kerana ia sudah menjadi realiti bagi ratusan syarikat dan puluhan ribu pekerja di UK.” – Bernama

    Gambar Freepik
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda