LONDON, 28 MAC – United Kingdom (UK) pada Khamis menasihatkan warganya di Sudan Selatan supaya meninggalkan negara itu jika mereka boleh berbuat demikian, lapor agensi Anadolu (AA).
Nasihat daripada Pejabat Luar, Komanwel dan Pembangunan (FCDO) itu dikeluarkan sehari selepas jumlah petugas kedutaannya di ibu negara, Juba, dikurangkan buat sementara waktu susulan ‘risiko peningkatan situasi tidak selamat’.
“FCDO menasihatkan supaya tidak melakukan sebarang perjalanan ke Sudan Selatan kerana risiko keganasan dan jenayah bersenjata . Jika awda berada di Sudan Selatan dan menilai adalah selamat untuk berbuat demikian, awda harus meninggalkan negara itu sekarang,” menurut kenyataan itu.
Kedutaan UK di Juba masih beroperasi untuk melaksanakan tugas penting, namun bantuan konsul kepada warganegara Britain di negara Afrika Timur itu adalah sangat terhad.
Pejabat Luar UK turut memaklumkan bahawa bantuan konsul secara bersemuka tidak dapat disediakan pada masa ini. – Bernama
