LONDON, 20 MEI – Perdana Menteri Britain, Keir Starmer mengecam tindakan ‘melampau’ Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu di Gaza dan memberi amaran bahawa United Kingdom bersama sekutunya akan mengambil ‘langkah konkrit’ sekiranya tiada perubahan dasar, lapor PA Media/dpa.
Starmer bersama Presiden Perancis, Emmanuel Macron dan Perdana Menteri Kanada, Mark Carney menggesa Israel menghentikan serangan tenteranya serta menamatkan sekatan ke atas bantuan kemanusiaan.
Kerajaan Netanyahu sebelum ini memaklumkan bahawa ia akan membenarkan sejumlah ‘asas’ bantuan ke Gaza bagi mengelakkan berlakunya krisis kebuluran setelah mengakui terdapat tekanan antarabangsa daripada negara sekutu berkaitan isu tersebut.
Dalam kenyataan bersama, Starmer, Macron dan Carney berkata: “Kami menentang sekeras-kerasnya peluasan operasi ketenteraan Israel di Gaza. Tahap penderitaan manusia di Gaza adalah tidak tertanggung. Pengumuman bahawa Israel akan membenarkan kuantiti asas makanan masuk ke Gaza adalah tidak mencukupi.”
Mereka berkata penafian bantuan oleh Israel, “tidak boleh diterima dan berisiko melanggar undang-undang kemanusiaan antarabangsa.”
“Kami mengecam bahasa keji yang digunakan oleh beberapa anggota kerajaan Israel baru-baru ini yang memberi bayangan bahawa orang awam mungkin dipaksa berpindah akibat kemusnahan di Gaza. Pengusiran secara paksa secara kekal adalah pelanggaran undang-undang kemanusiaan antarabangsa,” menurut kenyataan itu.
Ketiga-tiga pemimpin itu turut memberi amaran: “Kami tidak akan berdiam diri ketika kerajaan Netanyahu meneruskan tindakan melampau ini. Jika Israel tidak menghentikan serangan ketenteraan dan menarik balik sekatan ke atas bantuan kemanusiaan, kami akan mengambil tindakan konkrit sebagai tindak balas.”
Walaupun Israel berjanji membenarkan kemasukan bantuan, tiada petunjuk bahawa krisis kemanusiaan semakin reda.
Ketua bantuan kemanusiaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, Tom Fletcher berkata sembilan trak bantuan dibenarkan masuk, “tetapi jumlah itu ibarat setitis air di lautan berbanding keperluan mendesak.”
“Harapan kami terhadap kemasukan bantuan hari ini adalah realistik: memandangkan pengeboman yang masih berterusan dan tahap kebuluran yang serius, risiko rompakan dan ancaman keselamatan adalah tinggi,” katanya. – Bernama/dpa
