LONDON, 30 DIS – Britain buat pertama kali merekodkan lebih 50,000 kes COVID-19 semalaman sejak wabak itu merebak di seluruh dunia, menurut angka rasmi dikeluarkan semalam.
Seramai 53,135 lagi penduduk Britain diuji positif virus itu, menunjukkan peningkatan baharu setiap hari. Jumlah kes di negara ini kini sebanyak 2,382,865, lapor agensi berita Xinhua.
Britain ‘memasuki fasa baharu pandemik yang sangat berbahaya’ disebabkan penularan varian baharu, kata anggota Kumpulan Penasihat Ancaman Kemunculan Virus Baharu (NERVTAG), Profesor Andrew Hayward.
“Kita memerlukan tindakan pencegahan awal dan ketat, untuk mencegah bencana lebih buruk pada Januari dan Februari,” katanya kepada program Radio 4 BBC.
“Tahap sekatan sebelum ini tidak mampu berfungsi lagi, sekatan Tahap Empat mungkin diperlukan, atau mungkin lebih daripada itu.”– Bernama