LONDON, 10 JUN – Kerajaan Britain merancang untuk membakar peralatan perlindungan diri bernilai berbilion pound yang dibeli secara tergesa-gesa semasa wabak COVID, menurut satu kenyataan daripada badan pemerhati perbelanjaan awam kelmarin.
Walau bagaimanapun, idea membakar topeng muka, gaun dan peralatan lain bagi menjana kuasa tidak menarik perhatian jawatankuasa pemantau. Panel itu pada ketika ini sedang menyiasat bagaimana kerajaan membelanjakan sebanyak 4 bilion pound untuk peralatan perlindungan yang perlu dibuang disebabkan ia rosak atau tidak memenuhi piawaian UK.
Sementara itu, Jawatankuasa Akaun Awam Parlimen berkata, kerajaan merancang bagi melupuskan sejumlah 15,000 buah palet sebulan peralatan “melalui gabungan kitar semula dan pembakaran untuk menjana kuasa.”
Manakala itu, Ketua eksekutif Kolej Kejururawatan Diraja, Pat Cullen, menuduh kerajaan “membakar berbilion-bilion pound dalam bentuk asap pencemaran.”
Dalam laporan, jawatankuasa akaun mendapati bahawa Jabatan Kesihatan kehilangan sebanyak 75 peratus daripada 12 bilion pound yang dibelanjakannya untuk
PPE pada tahun pertama wabak itu kepada harga yang melambung dan produk yang rosak.
Dalam pada masa sama, ahli parlimen Parti Buruh Pembangkang, Meg Hillier, yang mempengerusikan jawatankuasa tersebut, berkata, saga PPE tersebut adalah “mungkin tindakan paling memalukan dalam tindak balas kerajaan UK terhadap wabak berkenaan.”
Menteri kerajaan, Robin Walker mengakui kelmarin bahawa kesilapan telah dilakukan semasa awal wabak tercetus. Tetapi dia berkata, ia adalah “situasi yang sama sekali tidak pernah berlaku sebelum ini” di mana negara-negara di seluruh dunia berebut untuk mendapatkan bekalan semasa krisis kesihatan. – AP
