LONDON, 6 MEI – United Kingdom (UK) merancang untuk mengehadkan permohonan visa daripada warganegara yang dianggap berisiko tinggi untuk menetap lebih lama daripada tempoh dibenarkan dan memohon suaka, lapor PA Media/dpa yang memetik laporan akhbar The Times.
Permohonan visa kerja dan pengajian daripada warganegara seperti Pakistan, Nigeria dan Sri Lanka antara yang mungkin akan dikurangkan oleh Pejabat Dalam Negeri, menurut laporan itu.
Akhbar berkenaan melaporkan bahawa rancangan tersebut akan diumumkan menerusi Kertas Putih Imigresen tidak lama lagi, selaras usaha kerajaan UK untuk mengurangkan angka migrasi bersih.
Parti Buruh dalam manifestonya telah berikrar untuk menurunkan jumlah tersebut. Parti itu berkata tahap keseluruhan migrasi bersih, “perlu dikawal dan diurus dengan baik.”
“Kegagalan untuk berbuat demikian akan mengurangkan insentif bagi perniagaan untuk melatih tenaga kerja tempatan,” tambah kenyataan itu.
Jurucakap Pejabat Dalam Negeri UK berkata: “Bagi menangani penyalahgunaan oleh warganegara asing yang tiba menggunakan visa kerja dan pengajian kemudian memohon suaka, kami sedang membina pangkalan risikan mengenai profil individu ini bagi mengenal pasti mereka lebih awal dan dengan lebih pantas.
“Kami sentiasa menyemak semula sistem visa dan jika mengesan sebarang trend yang boleh menjejaskan peraturan imigresen kami, kami tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan.
“Di bawah rancangan perubahan kami, Kertas Putih Imigresen yang bakal diumumkan akan memperincikan pelan menyeluruh untuk memulihkan semula sistem imigresen kami yang sedang bermasalah.”
Angka yang dikeluarkan bulan lalu menunjukkan jumlah migran yang memohon laluan visa utama ke UK telah menurun lebih satu pertiga dalam tempoh setahun.
Penurunan itu berkemungkinan mencerminkan perubahan peraturan migrasi sah yang diperkenalkan awal 2024 oleh kerajaan Konservatif terdahulu, termasuk larangan membawa tanggungan keluarga bagi pekerja penjagaan dan pelajar dari luar negara, serta kenaikan mendadak ambang gaji minimum bagi pekerja mahir kepada AS$51,440. – Bernama/PA Media/dpa
