Sabtu, 22 November 2025
25.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    UK salur bantuan AS$3.3 juta kepada Jamaica susulan taufan

    LONDON, 30 OKT – United Kingdom (UK) salurkan bantuan kemanusiaan berjumlah £2.5 juta (AS$3.3 juta) kepada Jamaica susulan kemusnahan akibat Taufan Melissa.

    Perdana Menteri Keir Starmer menyifatkan keadaan di negara Caribbean itu sebagai ‘amat mengejutkan’. Beliau memaklumkan kepada ahli Parlimen kelmarin bahawa kapal tentera laut HMS Trent dan “pasukan khas tindak balas pantas” telah ditempatkan lebih awal di rantau berkenaan bagi memberikan bantuan, lapor PA Media/dpa.

    Menurut Pejabat Hal Ehwal Luar, Komanwel dan Pembangunan (FCDO), dana itu akan digunakan bagi membekalkan bantuan kecemasan seperti kit tempat perlindungan, penapis air dan selimut, selain menghantar pakar UK untuk menyelaras serta mengagihkan bantuan di lapangan.

    Pada sesi soal jawab mingguan di Parlimen, Starmer berkata gambaran kemusnahan yang muncul dari Jamaica amat menginsafkan. “Saya dan Setiausaha Luar telah berhubung rapat dengan rakan sejawat di Jamaica sejak beberapa hari lalu bagi menawarkan sokongan penuh UK,” katanya.

    HMS Trent serta pasukan tindak balas pantas kini bersiap sedia di rantau berkenaan bagi memberi bantuan kemanusiaan.

    Sementara itu, Setiausaha Luar Yvette Cooper berkata UK bertindak segera membantu pihak berkuasa Jamaica dalam usaha bantuan dan kepakaran teknikal.

    Sebuah pasukan khas FCDO dihantar ke Miami bagi membantu warga Britain yang terkesan, manakala pasukan Kementerian Pertahanan ditempatkan di Kepulauan Turks dan Caicos bagi menyokong operasi tindak balas bencana.

    Dianggarkan 8,000 warga Britain berada di Jamaica, sementara FCDO menasihatkan mereka supaya mendaftar kehadiran menerusi laman sesawang kerajaan untuk menerima maklumat terkini mengenai situasi terkini. Bahagian barat Jamaica termasuk kawasan pelancongan utama seperti Montego Bay dilaporkan paling terjejas, manakala kira-kira tiga perempat pulau itu kini tanpa bekalan elektrik.

    Pusat Taufan Kebangsaan AS di Miami sebelum ini melaporkan Melissa adalah, “antara taufan paling dahsyat dalam sejarah Atlantik” dengan kelajuan angin mencecah 298 kilometer sejam semasa menlanda Jamaica. Negara berkenaan mengarahkan penduduk berpindah dari kawasan berisiko tinggi dan menutup semua lapangan terbang. – Bernama/PA Media/dpa

    Bangunan dan struktur yang rosak di Paroki St. Elizabeth, Jamaica kelmarin setelah dilanda Taufan Melissa. UK hulur bantuan kepada Jamaica. – Gambar fail AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda