LONDON, 9 APRIL – Pengawal selia penyiaran Britain kini sedang menyiasat forum bunuh diri dalam talian yang menurut laporan media tempatan dikaitkan dengan sekurang-kurangnya 50 kematian di negara itu. Ofcom berkata ia sedang menyiasat sama ada penyedia perkhidmatan laman itu ‘gagal menguat kuasa langkah-langkah keselamatan yang sewajarnya bagi melindungi pengguna UK daripada kandungan dan aktiviti yang menyalahi undang-undang.’
Ia merupakan siasatan pertama terhadap penyedia perkhidmatan individu di bawah Akta Keselamatan Dalam Talian 2023 Britain, yang bertujuan untuk melindungi pengguna Internet dewasa dan kanak-kanak.
Di bawah akta tersebut, penyedia perkhidmatan perlu menurunkan kandungan haram sebaik sahaja menyedarinya, dengan tarikh akhir ditetapkan pada pertengahan bulan lalu.
“Kami telah membuat beberapa percubaan untuk berhubung dengan penyedia perkhidmatan ini mengenai tanggungjawabnya di bawah akta tersebut dan telah mengeluarkan permintaan sah supaya mereka mengemukakan rekod penilaian risiko berkaitan kandungan haram,” kata Ofcom dalam satu kenyataan.
Tambahnya, “Setelah menerima maklum balas yang amat terhad dan maklumat yang tidak memuaskan tentang langkah yang diambil untuk melindungi pengguna United Kingdom daripada kandungan haram, kami hari ini telah melancarkan siasatan bagi menentukan sama ada penyedia berkenaan mematuhi kewajipan undang-undangnya di bawah akta tersebut.”
Menurut laporan BBC, forum yang dihoskan di Amerika Syarikat itu mempunyai puluhan ribu ahli dan telah dikaitkan dengan kira-kira 50 kes bunuh diri di Britain, termasuk kanak-kanak.
Laman itu didakwa menjadi tempat perbincangan kaedah bunuh diri, termasuk perkongsian arahan untuk membeli dan menggunakan bahan kimia beracun yang boleh membawa maut.
Dilaporkan kira-kira 50 kes bunuh diri di UK telah dikaitkan dengan forum itu. – AFP
