LONDON, 15 JULAI – Kerajaan United Kingdom (UK) telah mengumumkan pelancaran DRIVE35, iaitu sebuah program baharu yang merangkumi pelbagai pertandingan pembiayaan untuk menyokong perniagaan automotif UK, lapor dpa-AFX.
Program itu akan membiayai pelbagai jenis projek yang menyokong peralihan kepada pengeluaran kenderaan tanpa pelepasan karbon.
Program tersebut turut menyasarkan pengeluar besar berjumlah tinggi serta kilang bateri berskala besar selain turut memberi sokongan kepada syarikat pemula, prototaip dan inovasi automotif berteknologi tinggi.
Program baharu itu diumumkan dalam Pelan Sektor Pembuatan Maju, sebahagian daripada Strategi Industri Moden UK.
Kerajaan UK komited menyalurkan £2 bilion sehingga 2030, disusuli tambahan £500 juta untuk penyelidikan dan pembangunan sehingga 2035, satu komitmen jangka panjang selama 10 tahun terhadap inovasi automotif di UK. – Bernama
