LONDON, 15 JAN – Britain akan menghantar 20,000 anggota tentera ke salah satu latihan terbesar NATO sejak Perang Dingin, Setiausaha Pertahanan Grant Shapps mengumumkan hari ini, memberikan amaran tentang peningkatan ancaman kepada pakatan yang diketuai Barat.
Penempatan itu, yang disifatkan Shapps sebagai yang terbesar dari UK ke NATO dalam 40 tahun, bertujuan untuk ‘memberikan jaminan penting’ terhadap ‘ancaman’ yang ditimbulkan oleh Presiden Rusia, Vladimir Putin berikutan pencerobohannya ke atas Ukraine, kata Shapps.
Anggota tentera Britain – dari Tentera Udara Diraja, Tentera Laut Diraja dan Tentera Darat – akan ditempatkan di seluruh Eropah dan sekitarnya untuk ‘Latihan Steadfast Defender’ terkini oleh perikatan tentera tersebut, bersama anggota dari 31 negara lain dan Sweden, yang merupakan calon untuk menyertai pakatan transatlantik itu.
“NATO hari ini adalah lebih besar daripada sebelumnya tetapi cabaran-cabarannya juga lebih besar,” kata Shapps dalam ucapannya di London, di mana beliau mengingatkan bahawa ‘keamanan berasaskan peraturan antarabangsa’ sedang menghadapi bahaya yang semakin meningkat.
“Dan itulah sebabnya UK telah komited dengan keseluruhan aset udara, darat dan maritim kami kepada NATO”, sambungnya.
“Pada 2024, saya berazam untuk melakukan lebih banyak lagi dan itulah sebabnya saya boleh mengumumkan hari ini bahawa UK akan menghantar kira-kira 20,000 anggota tentera untuk mengetuai salah satu penempatan terbesar NATO sejak berakhirnya Perang Dingin.”
Kontinjen UK ini akan merangkumi jet pejuang dan pesawat pengawasan, kapal perang dan kapal selam tentera laut yang paling canggih, serta pelbagai keupayaan tentera darat, termasuk pasukan operasi khas. – AFP


