UK terkeluar senarai laluan hijau

Oleh Syahmi Hassan
Gambar oleh Muiz Matdani

BANDAR SERI BEGAWAN, 22 DIS – Jawatankuasa Pandu COVID-19 telah menetapkan untuk tidak menyenaraikan United Kingdom (UK) sebagai kategori Travel Green List bagi tujuan perjalanan tidak mustahak (non-essential travel) berikutan situasi penularan varian Omicron di negara itu.

Pengemaskinian tersebut adalah bagi garis panduan perjalanan keluar dan masuk nega-ra semasa Fasa Awal Endemik, merujuk kepada kenyataan media Jabatan Perdana Menteri 12 Disember lalu.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dan Ekonomi Kedua, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew bin Abdullah (gambar) telah mengumumkannya semasa Sidang Media bagi Situasi Terkini Jangkitan COVID-19 di Negara Brunei Darussalam, di Dewan Al-‘Afiah, Kementerian Kesihatan, hari ini.

“Sebagaimana kita maklum bermula 1 Januari 2022, rakyat dan penduduk Negara Brunei Darussalam serta warganegara asing yang telah melengkapkan suntikan vaksinasi COVID-19 adalah dibenarkan untuk membuat perjalanan keluar negara atas tujuan perjalanan tidak mustahak (non-essential travel) melalui pengangkutan udara menuju ke negara-negara di bawah kategori Travel Green List iaitu Australia, China, Singapura dan UK.

“Walau bagaimanapun, disebabkan varian baharu Omicron tersebut, UK telah tidak disenaraikan dalam Travel Green List tersebut bagi tujuan non-essential, yang berkuatkuasa dengan serta-merta,” jelas Yang Berhormat Dato.

Menurut beliau, pengemaskinian kategori Travel Green List itu merupakan langkah yang bersesuaian bagi memastikan kebajikan, kesejahteraan dan keamanan rakyat dan penduduk Negara Brunei Darussalam terus terjamin dengan mengawal risiko jangkitan COVID-19.

Bagi mereka yang sudah membuat perancangan untuk membuat perjalanan keluar dan masuk negara ini bagi tujuan non-essential travel ke UK, Yang Berhormat Dato menasihatkan untuk menangguhkannya dahulu.

“Syarat-syarat bagi pertimbangan keluar masuk yang dinyatakan adalah tertakluk kepada penelitian Jawatankuasa Pandu COVID-19 dari semasa ke semasa,” katanya lagi.