Tuesday, July 15, 2025
27.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    UK tolak ubat Alzheimer mahal, kurang manfaat

    LONDON, 19 JUN – Perkhidmatan kesihatan awam United Kingdom (UK) hari ini memutuskan untuk tidak menawarkan dua rawatan baharu bagi penyakit Alzheimer atas alasan kos yang tinggi dan manfaat yang dianggap ‘terlalu sedikit’.

    Donanemab dan Lecanemab sebelum ini dipuji sebagai rawatan berjaya kerana mampu memperlahankan gejala Alzheimer peringkat awal, iaitu bentuk demensia paling lazim.

    Kedua-duanya adalah bahan aktif yang digunakan untuk merawat orang dewasa dengan masalah ingatan dan kognitif ringan. Ubat-ubatan ini menyasarkan punca penyakit dengan mengikat protein amiloid yang terkumpul dalam otak pesakit Alzheimer dan bukannya sekadar merawat gejala.

    Menurut pihak berkuasa pemantau perbelanjaan NHS, iaitu Institut Nasional untuk Kesihatan dan Kecemerlangan Penjagaan (NICE), ubat-ubatan tersebut terbukti berkesan dalam melambatkan peralihan penyakit daripada tahap ringan kepada sederhana selama empat hingga enam bulan.

    Namun, manfaatnya dianggap terlalu kecil untuk membenarkan kos tambahan kepada NHS.

    Tahun lalu, NHS England dalam satu taklimat menyatakan bahawa kos memperkenalkan ubat-ubatan itu kepada perkhidmatan awam boleh mencecah antara £500 juta hingga £1 bilion setahun.

    Donanemab dipasarkan sebagai Kisunla oleh syarikat farmaseutikal Amerika Syarikat, Eli Lilly, manakala Lecanemab dikenali sebagai Leqembi, dikeluarkan oleh syarikat Jepun, Eisai. Kedua-dua syarikat telah menyatakan hasrat untuk merayu keputusan tersebut.

    Presiden Eli Lilly UK dan Eropah, Chris Stokes, berkata, “Jika sistem kesihatan tidak mampu menyampaikan penemuan saintifik terkini kepada pesakit NHS, sistem itu telah rosak.” – AFP

    Gambar Freepik
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda