Friday, April 19, 2024
24.7 C
Brunei

    -

    UK umum langkah kawalan harga tenaga

    LONDON, 9 SEPT – Perdana Menteri Britain yang baharu, Liz Truss meng-umumkan kelmarin bahawa kerajaan Konservatifnya akan mengehadkan harga tenaga domestik untuk rumah dan perniagaan bagi mengurangkan krisis kos sara hidup yang menyebabkan penduduk di seluruh United Kingdom menghadapi musim sejuk yang suram.

    Langkah itu dibuat oleh Truss sebagai usaha kerajaan yang besar dalam sektor ekonomi, yang melihat dirinya sebagai ahli konservatif yang menyokong pasaran bebas. Dia berkata dia lebih suka pemotongan cukai berbanding pemberian bantuan, tetapi terpaksa bertindak mengikut skala krisis kerana perang Rusia di Ukraine telah menyebabkan harga tenaga melonjak.

    Truss juga berkata beliau akan meluluskan lebih banyak penggerudian minyak Laut Utara dan menarik balik larangan untuk meningkatkan bekalan tenaga domestik.

    Dalam pengumuman langkah kawalan harga tenaga, Truss berkata kerajaannya akan memastikan Britain mampu melalui musim sejuk akan datang dan berusaha menangani punca harga tenaga yang melambung.

    Truss berkata jaminan harga tenaga dua tahun bermakna purata bil isi rumah untuk pemanasan dan elektrik tidak lebih daripada AS$2,872 setahun.

    Perdana Menteri Britain menyampaikan rancangan tenaganya di Dewan Rakyat untuk mengelak bil tenaga melambung naik di Britain. – AP

    Bil telah dijangka meningkat kepada 3,500 pound setahun bermula pada bulan Oktober depan, lonjakan 80 peratus daripada purata bil tahunan semasa sebanyak 1,971 pound. Kos tenaga melambung tinggi pada masa ramai orang dan perniagaan masih bergelut dengan situasi ekonomi akibat COVID dan Brexit.

    Institusi perniagaan dan awam seperti hospital dan sekolah juga akan mendapat sokongan, tetapi selama enam bulan dan bukannya dua tahun.

    Kerajaan berkata had itu akan mengurangkan kadar inflasi United Kingdom yang melonjak sebanyak 4 hingga 5 mata peratusan. Inflasi mencecah 10.1 peratus pada Julai lalu dan telah diramalkan meningkat kepada 13 peratus sebelum akhir tahun sekali gus mencetuskan kemelesetan yang berpanjangan, kata Bank of England.

    Kerajaan Britain tidak menyatakan jumlah kos had harga, tetapi anggaran telah meletakkannya lebih 100 bilion pound.

    Truss telah menolak gesaan pembangkang untuk mengenakan cukai amat tinggi ke atas keuntungan syarikat minyak. Had akan dibayar menggunakan dana Perbendaharaan dan dengan meminjam. Parti Buruh pembangkang mengatakan itu bermakna pembayar cukai British perlu membayar bil.

    Kerajaan berkata ia juga akan mengkaji semula perkembangan sasarannya untuk mencapai pelepasan sifar-karbon menjelang tahun 2050, untuk memastikan tiada beban ke atas perniagaan atau pengguna, tetapi menegaskan ia kekal komited untuk mencapai matlamat itu. – AP/AFP

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Mahkamah batalkan sabitan bekas Presiden Maldives Abdulla Yameen

    NEW DELHI, 19 APRIL - Mahkamah di Maldives membatalkan sabitan bekas Presiden Abdulla Yameen atas tuduhan rasuah, kelmarin. Panel tiga hakim Mahkamah Tinggi memutuskan bahawa...