LONDON, 26 NOV – Britain mengumumkan perbelanjaan berjumlah berbilion pound semalam meskipun hutang yang meningkat, termasuk kenaikan gaji untuk jururawat bertujuan menyokong ekonomi yang terjejas teruk oleh virus tatkala negara melancarkan masa depan pasca Brexit.
Mengumumkan bahawa ekonomi UK dijangka menyusut sebanyak 11.3 peratus pada tahun ini, prestasi paling buruk dalam lebih tiga dekad, menteri kewangan Rishi Sunak memberitahu parlimen pelaburan adalah penting untuk merangsang pemulihan.
Ekonomi UK, yang mengalami ke-melesetan paling teruk disebabkan kesan pandemik, diramalkan berpulih sebanyak 5.5 peratus pada tahun depan dan 6.6 peratus pada 2022.
“Krisis kesihatan masih belum berakhir dan krisis ekonomi kami baru bermula,” kata Sunak ketika beliau mengumumkan ulasan perbelanjaan terbaharu untuk kerajaan Perdana Menteri Boris Johnson.
“Maka dasar utama kami sekarang adalah melindungi nyawa dan mata pencarian rakyat,” tambah menteri kewangan itu.
Beliau berkata belanjawan bantuan akan dikurangkan kepada 0.5 peratus daripada pendapatan negara kasar, dan kembali kepada 0.7 peratus ‘apabila situasi fiskal membenarkan.’
Pada keseluruhannya, kerajaan merancang membelanja 55 bilion pound ke atas perkhidmatan awam yang dikaitkan dengan koronavirus pada tahun depan, demikian menurut pengumuman semalam. – AFP
