Sunday, May 11, 2025
29.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    UK umum sekatan baharu terhadap Myanmar

    LONDON, 28 MAC – United Kingdom kelmarin mengumumkan sekatan baharu terhadap Myanmar, termasuk menyasarkan pembekal peralatan ketenteraan kepada junta.

    “Sekatan baharu ini menyasarkan individu dan syarikat yang membekalkan bahan, termasuk peralatan ketenteraan yang masih digunakan untuk menyerang orang awam,” lapor agensi Anadolu memetik kenyataan Pejabat Luar London.

    Ia menambah bahawa sekatan itu dikenakan sempena Hari Angkatan Tentera Myanmar.

    “Mereka yang dikenakan sekatan termasuk sebuah syarikat dan pengarahnya yang membekalkan bahan api penerbangan untuk Angkatan Udara Myanmar dan pengarah syarikat yang membekalkan barangan dan teknologi melalui perniagaannya,” menurut kenyataan itu.

    Anne-Marie Trevelyan, menteri untuk Indo-Pasifik, berkata UK mengutuk ‘kempen kejam’ tentera terhadap rakyat Myanmar.

    “Sekatan yang diumumkan hari ini bertujuan untuk mengurangkan akses tentera kepada bahan api dan peralatan ketenteraan,” katanya.

    Pada 1 Februari 2021, tentera Myanmar menggulingkan kerajaan yang dipilih secara demokrasi yang dipimpin oleh Aung San Suu Kyi.

    Pengumuman kelmarin itu menandakan pusingan ke-15 sekatan UK terhadap rejim tentera di Myanmar, menurut Pejabat Luar London. – Bernama

    Ketua Tentera Myanmar, Min Aung Hlaing (kiri) semasa perarakan Hari Angkatan Tentera Myanmar ke-78 di Naypyitaw, Myanmar pada 27 Mac. – AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda