LONDON, 23 FEB – Kerajaan Britain akan mengumumkan pakej sekatan baru bagi terus menekan Rusia sempena tahun ketiga pencerobohan Moscow ke atas Ukraine, lapor PA Media/dpa.
Setiausaha Luar Britain, David Lammy, berkata beliau akan mengumumkan sekatan itu pada Isnin, yang disifatkan sebagai pakej terbesar sejak awal konflik, bertujuan menjejaskan sumber pendapatan Rusia dan melemahkan kekuatan ketenteraan Presiden Vladimir Putin. Beliau menegaskan bahawa Britain akan terus bekerjasama dengan Amerika Syarikat dan rakan-rakan Eropah, bagi mencapai keamanan yang adil dan berkekalan, dengan memastikan Ukraine terlibat dalam setiap rundingan.
AS telah memulakan rundingan untuk menamatkan konflik dengan Rusia, namun tanpa penyertaan Kyiv.
Sementara itu, Perdana Menteri Britain Keir Starmer, dijangka berdepan cabaran diplomatik ketika bertemu Presiden AS, Donald Trump di Washington minggu hadapan, dalam usaha mengimbangi sokongan Britain terhadap Ukraine dengan keperluan mengekalkan hubungan erat dengan AS.
Menurut Lammy, sokongan Britain terhadap Ukraine kekal teguh, termasuk peruntukan bantuan ketenteraan sebanyak £3 bilion (US$3.8 bilion) setiap tahun serta kesediaan menghantar tentera sebagai pasukan pengaman jika diperlukan.
“Di medan perang, kami komited untuk memperkukuh kedudukan Ukraine, manakala di luar medan perang, kami akan terus berusaha mencapai keamanan berasaskan keadilan,” katanya. – Bernama
