Monday, December 23, 2024
22.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Ukir arca untuk memberikan penghormatan

    BAGHDAD – Ukiran patung-patung terakhir yang dibuat oleh tujuh pelatih seni telah diletakkan di luar sebuah bengkel sementara di Dataran Tahrir, Baghdad.

    Bersama ukiran patung tersebut turut dipaparkan poster yang menggambarkan penunjuk perasaan yang terbunuh dalam demonstrasi antikerajaan dalam masa tiga bulan yang lalu.

    Sebuah patung menunjukkan seorang penunjuk perasaan dengan batang gas tertusuk ke dalam matanya. Satu lagi menunjukkan pemandu Tuk-tuk duduk bersebelahan dengan kenderaan roda tiganya dan terbunuh ketika mengalihkan pemprotes yang cedera semasa pertempuran. Manakala yang selebihnya memaparkan tangan penunjuk perasaan yang memancarkan tanda kemenangan dan berwarna seperti bendera Iraq.

    Bagi artis seni, Mahdi Qarnous, 53, pameran yang dirasmikan baru-baru ini di tengah Dataran Tahrir, Baghdad – pusat gerakan protes antikerajaan Iraq – merupakan sumbangan peribadi kepada pergerakan itu. Ia bertujuan untuk mengabadikan penunjuk perasaan yang telah terbunuh dan diculik semasa demonstrasi yang melanda Iraq sejak 1 Oktober lalu. Ia juga merupakan cara yang dianggap perlu, serta membolehkan belia muda, yang berbakat untuk mempamerkan keistimewaan mereka.

    Iraq berdepan kekecohan akibat bantahan menyaksikan sehingga 490 penduduk terkorban, majoritinya mereka yang terlibat dalam demonstrasi dan terbunuh ketika pasukan keselamatan menembak pemedih mata dan peluru hidup. Kebangkitan secara besar-besaran telah mendorong peletakan jawatan bekas Perdana Menteri, Adel Abdul-Mahdi pada akhir bulan lalu.

    Acara pameran ini merupakan cara yang dianggap perlu, serta membolehkan belia muda, yang berbakat untuk keistimewaan mereka. – AP
    Pameran ini bertujuan untuk mengabadikan penunjuk perasaan yang telah terbunuh dan diculik semasa demonstrasi yang melanda Iraq sejak 1 Oktober lalu. – AP

    Belia muda berbakat

    Qarnous berkata bahawa dia telah mengambil tujuh penunjuk perasaan yang tidak berpendidikan dan menganggur dari Dataran Tahrir, menjalani kursus selama enam minggu secara intensif dan dibiayai secara peribadi dan selepas tiga minggu mereka akan dapat memulakan projek seni mereka sendiri.

    “Kami telah melihat aktiviti ini sebagai sebahagian daripada protes yang sedang berlangsung dan monumen peringatan bagi mereka yang terbunuh,” katanya. Dataran Tahrir telah menjadi tempat atau pusat tumpuan penunjuk perasaan di mana penunjuk perasaan berkhemah.

    Berpuluh-puluh penduduk telah mengambil bahagian dalam pembukaan pameran arca yang diadakan baru-baru ini. Walau bagaimanapun, pelatih seni yang mengajar belia muda tidak hadir dalam acara itu kerana khuatir mereka akan ditahan dan risau akan keselamatan mereka.

    “Rejim semasa telah menghasilkan generasi yang miskin dalam menghasilkan dan menghargai seni. Anda lihat di dalam pameran ini di mana penduduk kita sebenarnya ada potensi namun tidak tahu cara untuk menghargainya,” kata Qarnous. Murtada Muthanna, 23, seorang artis dan aktivis berkata bahawa pameran itu berfungsi sebagai mesej untuk seluruh dunia.

    “Ia mengatakan bahawa kita adalah individu yang mempunyai inspirasi untuk hidup bukan mati. Revolusi kami adalah keamanan dan mencari pembaharuan bukan kemusnahan,” katanya kepada media. – AP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda