IPOH, 4 OGOS – Selepas 26 jam mengukir bongkah ais sepanjang 60 meter dengan pelbagai elemen tarikan yang ada di Taman Tema Lost World of Tambun di sini, hasil kerja itu akhirnya diiktiraf sebagai rekod ukiran ais terpanjang dalam Asia Book of Records. Pengiktirafan itu juga diberikan kerana berjaya memenuhi syarat agar bentuk ukiran dikekalkan sekurang-kurangnya selama dua jam selepas kerja-kerja bermula pada 7:15 petang sehingga selesai pada 9:15 malam tadi.
Ukiran yang dihasilkan termasuk haiwan seperti kuda dan pelbagai jenis burung yang terdapat dalam ‘petting zoo’, selain kolam air panas dan permainan air serta bentuk tiang taman tema itu. Pengurus Besar Lost World of Tambun, Nurul Nuzairi Mohd Azahari berkata impian untuk mengukir nama dalam Asia Book of Records mula timbul kira-kira setahun lalu dengan tujuan memberi latihan kepada pelajar jurusan kulinari menerusi aktiviti ukiran ais.
“Daripada idea tersebut kita mulakan usaha termasuk kajian dan sebagainya dan akhirnya kita berjaya kumpulkan kira-kira 25 pengukir ais senior, 25 pengukir ais amatur dari seluruh negara yang dibantu oleh 67 pelajar dari Kolej Komuniti Chenderoh, Kuala Kangsar. – Bernama
