PREYTOTOEUNG, KEMBOJA, 19 JAN – Pakar-pakar Kemboja, dianggap sebagai salah sebuah negara paling dicemari periuk api di dunia, membawa sekumpulan tentera Ukraine melalui kawasan periuk api yang sedang dibersihkan hari ini.
Pengalaman mereka selama berdekad-dekad itu diharap akan membantu warga Eropah dalam usaha mereka menghapuskan periuk-periuk api Rusia di negara mereka.
Dengan memakai perisai badan, helmet dan visor perlindungan, sekumpulan 15 orang warga Ukraine dibawa melalui laluan-laluan yang telah dibersihkan merentasi bekas medan pertempuran di wilayah timur laut Battambang oleh jurulatih-jurulatih dari Pusat Tindakan Periuk Api Kemboja, agensi kerajaan yang menyelia pembersihan periuk-periuk api dan kelengkapan tentera tidak meletup di negara itu.
Kapten Arsenii Diadchenko, yang mengetuai pasukan Ukraine berkata bahawa latihan-latihan setakat ini “cepat dan pantas” namun mereka banyak belajar.
“Ia akan sangat berguna dalam membersihkan kawasan kami daripada periuk-periuk api Rusia,” beliau memberitahu pemberita di samping latihan berkenaan.
Kemboja masih penuh dengan periuk api selepas tiga dekad peperangan dan konflik-konflik dalaman yang berakhir pada 1998, dengan anggaran 4 hingga 6 juta peranti tidak meletup masih belum dibersihkan.
Pemerhati Periuk Api NGO dalam laporannya pada 2022 menyenaraikan Kemboja dan Ukraine sebagai antara sembilan negara yang mempunyai pencemaran periuk api “besar”, bermakna mereka mempunyai lebih 100 kilometer persegi kawasan tidak dibersihkan.
Dalam kes Kemboja, terdapat lebih 715 kilometer persegi kawasan yang tidak dibersihkan, manakala NGO berkenaan tidak dapat mengesahkan tahap pencemaran di Ukraine.
Sementara Ukraine baharu kepada penghapusan periuk api, masalah itu telah lama membelenggu Kemboja sehingga merentas generasi.- AP