KYIV, UKRAINE, 1 MAC – Kyiv berkata negara itu telah ‘terselamat’ daripada serangan Rusia selama berbulan-bulan ke atas infrastruktur kritikal yang penting sepanjang musim sejuk, ketika Ukraine menandakan hari pertama musim bunga kelmarin.
Sejak Oktober, Rusia telah menyerang kemudahan tenaga utama di Ukraine dengan peluru berpandu dan dron, menjejaskan bekalan air, sistem pemanasan dan elektrik kepada berjuta-juta orang. “Pada 1 Mac 2023, Presiden Rusia, Vladimir Putin mengalami kekalahan besar kelima sejak pencerobohannya secara besar-besaran tetapi Ukraine berjaya mengatasi keganasan pada musim sejuk itu,” kata Menteri Luar, Dmytro Kuleba dalam satu kenyataan.
“Kami terselamat daripada musim sejuk yang paling sukar dalam sejarah kami. Ia sejuk dan gelap, tetapi kami tidak mengalah.”
Kuleba berkata kekalahan Moscow yang lain termasuk kegagalan Rusia untuk menimbulkan ketakutan di kalangan rakyat Ukraine, kegagalannya untuk menawan ibu kota Kyiv, beberapa pusingan sekatan yang dikenakan Barat ke atas Kremlin dan kemajuan di medan perang Ukraine.
Organisasi bantuan telah memberi amaran pada awal musim sejuk bahawa kempen yang disasarkan akan memaksa gelombang baru penghijrahan ke Eropah dan keutamaan Ukraine adalah untuk bertahan melalui bulan-bulan yang bersuhu rendah. Kremlin berkata Kyiv bertanggungjawab atas penderitaan orang awam kerana ia enggan menyerah kepada tuntutan perang Moscow. – AFP










