KYIV, 15 JUN – Ukraine dan Kesatuan Eropah (EU) bersetuju dengan teks akhir perjanjian mengenai liberalisasi pengangkutan jalan raya, menurut Kementerian Infrastruktur Ukraine dalam satu kenyataan kelmarin.
Perjanjian itu, yang akan ditandatangani pada akhir bulan ini, akan menambah baik dan mempercepat logistik antara Ukraine dan EU, lapor Xinhua memetik kenyataan kementerian itu dari laman Facebook.
Perjanjian tersebut secara khususnya menetapkan EU akan membatalkan kewajipan mendapatkan permit khas untuk syarikat pengangkutan Ukraine mengangkut barangan di EU.
Ukraine dan EU telah memulakan rundingan mengenai liberalisasi pengangkutan jalan raya tahun lepas.
Selepas bermulanya konflik Rusia-Ukraine pada Februari lalu, 12 buah negara EU telah membenarkan laluan bebas permit pengangkutan darat barang Ukraine buat sementara waktu. – Bernama