KYIV, UKRAINE, 20 JUN – Ukraine berkata kelmarin bahawa ia telah kehilangan kawalan ke atas sebuah kampung bersebelahan dengan bandar perindustrian timur Severodonetsk di mana pusat pertempuran sengit berlaku selama berminggu-minggu dengan tentera Rusia yang terus-menerus menyerang.
“Malangnya, kami tidak dapat mengawal Metyolkine lagi. Dan musuh terus mengasak,” kata gabenor wilayah Lugansk, Sergiy Gaiday dalam satu kenyataan di platform media sosial.
Penawanan pihak Rusia ke atas perkampungan desa dengan populasi sebelum perang sekitar 1,000 orang itu, adalah yang terbaharu di sekitar Severodonetsk, di mana kerahan tentera Moscow telah menghadapi tentangan keras Ukraine.
Sebelumnya, tentera Rusia telah perlahan-lahan mara ke wilayah timur Donbas di mana mereka menumpukan usaha ketenteraan selepas diusir keluar dari kawasan sekitar ibu negara pada permulaan pencerobohan pada Februari lalu.
Gaiday berkata bahawa loji kimia Azot di Severodonetsk, di mana ratusan orang awam dikatakan berlindung, telah diletupkan oleh tentera Rusia “secara berterusan.”
Sementara itu, ketua pentadbiran bandar, Oleksandr Stryuk memberitahu televisyen Ukraine kelmarin bahawa tentera Moscow mengawal kebanyakan kawasan perumahan di bandar berkenaan.
“Musuh telah mengerahkan lebih ramai tenaga kerja bagi serangan untuk menyerbu bandar dan menguir tentera kita,” kata Stryuk.
Manakala itu, pemindahan dari Severodonetsk juga tidak dapat dilakukan selama beberapa hari, selepas jambatan terakhir merentasi sungai yang menghubungkannya ke Lysychansk diletupkan. – AFP
