Oleh Sim Y. H. –
BANDAR SERI BEGAWAN, 23 OGOS – Ukraine yakin bahawa Negara Brunei Darussalam dapat menjadi rakan kerjasama dua hala yang penting dan strategik di rantau Asia Tenggara khususnya ASEAN dengan kedua-dua negara terus berusaha untuk meningkatkan pertukaran serta kerjasama dua hala dalam pelbagai bidang.
Dalam hubungan itu, Ukraine amat berminat untuk meningkatkan hubungan perdagangan dengan Brunei di mana ia meliputi bukan sahaja pengeksportan produk-produk makanan tetapi juga produk serta perkhidmatan dalam bidang IT.
Perkara itu dinyatakan oleh Duta Besar Istimewa dan Mutlak Ukraine ke Negara Brunei Darussalam yang tidak menetap, Puan Yang Terutama Kateryna Zelenko dalam temu bual bersama Media Permata di Bandar Seri Begawan, baru-baru ini.
Mengulas lanjut mengenai kerjasama dalam bidang perdagangan, PYT Kateryna Zelenko berkata bahawa Ukraine dikenali sebagai sebuah negara pengeksport produk-produk asasi seperti gandum, minyak bunga dan madu dan pada masa yang sama, secara aktif sedang mengeksport produk-produk halal ke negara-negara ASEAN seperti Singapura dan Malaysia.
Dalam hubungan itu, beliau menyatakan bahawa Ukraine amat berminat untuk meneroka peluang kerjasama dalam bidang perdagangan bukan sahaja produk asasi tetapi juga produk halal.

Selain daripada bidang perdagangan, Ukraine juga ingin meningkatkan kerjasama dalam bidang pertukaran antara warga kedua-dua buah negara di mana beliau melihat kedua-dua buah negara mempunyai nilai-nilai yang serupa.
Puan Yang Terutama juga menyatakan bahawa Ukraine mempunyai pengalaman dan kepakaran dalam bidang teknologi maklumat (IT) termasuk sekuriti siber serta ia merupakan salah satu hab IT yang terbesar di Eropah di mana mereka merupakan antara pengasas bersama bagi pelbagai aplikasi mudah alih yang terkemuka di dunia seperti WhatsApp, PayPal dan SnapChat.
Oleh itu, baginya bidang seumpamanya membuka pelbagai peluang bagi mengukuhkan lagi bukan sahaja pertukaran dan kerjasama dua hala tetapi peluang bagi mempelajari daripada pengalaman dan amalan terbaik supaya dapat memberikan manfaat kepada kedua-dua buah negara.
Pada masa yang sama, dunia masih lagi berdepan dengan pelbagai cabaran termasuk masih bergelut dengan masalah yang disebabkan oleh pandemik COVID-19, masalah dengan rantaian bekalan dan juga perubahan iklim.
Oleh itu, PYT Kateryna Zelenko berkata bahawa semua isu berkenaan merupakan isu yang dihadapi bersama dan adalah amat penting bagi kita untuk bersama-sama berusaha menangani masalah bagi kepentingan bersama dengan Ukraine bersedia untuk menyalurkan bantuan dengan negara-negara ASEAN boleh mendapat manfaat daripadanya.
Mengulas mengenai pengalaman berada di Negara Brunei Darussalam, PYT Kateryna Zelenko amat kagum dengan keindahan flora dan fauna di mana bukan sahaja pihak kerajaan tetapi seluruh rakyat negara juga berusaha untuk memulihara khazanah warisan unik negara ini.

