KRAMATORSK, UKRAINE, 29 DIS – Pihak berkuasa Ukraine dan pemisah pro-Rusia di wilayah bergolak di timur negara itu dijangka akan bertukar tahanan di medan pertempuran aktif di sini.
Sebagai sebahagian daripada pertukaran, Kiev dijangka menyerahkan beberapa anggota polis rusuhan kepada pemisah yang didakwa membunuh penunjuk perasan ketika kebangkitan pro-Barat pada 2014, yang mencetuskan kemarahan orang ramai.
Pertukaran terbaharu itu dicapai selepas presiden Rusia, Vladimir Putin dan pemimpin Ukraine, Volodymyr Zelensky mengadakan pertemuan dua mata di Paris pada 9 Disember lalu.
Kedua-dua pemimpin bersetuju dengan sebahagian daripada langkah untuk meredakan perang yang masih aktif di Eropah itu.
Sidang kemuncak, yang dianjurkan oleh pemimpin Perancis dan Jerman, adalah yang pertama seumpamanya dalam tiga tahun.
“Harus ada pertukaran… Kami sedang menunggu saat ini,” kata Zelensky.
Wakil pemisah di kubu kuat Donetsk, Daria Morozova, berkata Donetsk dan sebuah lagi kumpulan pemisah di Lugansk akan menerima 87 banduan, manakala 55 orang lagi akan diserahkan kepada Kiev.
Pertukaran tawanan dijangka berlangsung berhampiran bandar Gorlivka di wilayah Donetsk.
Pertukaran itu akan berlaku tiga bulan selepas Ukraine melakukan pertukaran yang ditunggu-tunggu dengan Rusia terhadap 35 orang tahanan.
Sebagai sebahagian daripada pertukaran itu, Rusia membebaskan pembuat filem Oleg Sentsov dan 24 kelasi Ukraine.
Lebih 13,000 orang terbunuh sejak militia pro-Rusia di timur Ukraine melancarkan gerakan untuk kemerdekaan pada tahun 2014. – AFP