PARIS, 10 DIS – Ukraine dan Rusia telah mencapai kata sepakat berkaitan pelaksanaan gencatan senjata yang menyeluruh dan sepenuhnya di timur Ukraine sebelum akhir 2019, lapor agensi berita China Xinhua memetik kenyataan pemimpin Rusia, Ukraine, Perancis dan Jerman di sini pada petang semalam.
“Kesemua pihak komited untuk melaksanakan sepenuhnya gencatan senjata itu, yang akan digabung dengan pelaksanaan semua langkah sokongan gencatan senjata yang diperlukan, sebelum akhir 2019,” menurut kenyataan bersama Presiden Perancis Emmanuel Macron, Canselor Jerman Angela Merkel, Presiden Rusia Vladimir Putin dan Presiden Ukraine Volodymyr Zelensky.
Susulan rundingan yang dikenali sebagai Sidang Kemuncak Normandy Four, kesemua pihak juga bersetuju mengadakan satu lagi pertemuan mengikut format Normandy dalam tempoh empat bulan akan datang bagi membincangkan “syarat-syarat politik dan keselamatan bagi pilihan raya tempatan,” menurut kenyataan itu.
Ditubuhkan pada Jun 2014, Normandy Four adalah kumpulan hubungan bagi pegawai kanan dari keempat-empat negara dalam usaha menyelesaikan konflik di timur Ukraine yang meletus pada April 2014. – Bernama