Sunday, November 24, 2024
30.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Ulam raja pelengkap hidangan, penawar penyakit

    Oleh Nurdiyanah R.

    Pemakanan ulam-ulaman segar telah lama menjadi tradisi warisan Melayu nenek moyang kita semenjak zaman berzaman.

    Dengan menikmati juadah nasi panas bersama ulam-ulaman sememangnya menjadi salah satu rahsia mereka untuk mengekalkan daya kesihatan tubuh badan dan tenaga yang baik.

    Namun sayang seribu kali sayang, generasi kini mungkin tidak banyak yang mengetahui khasiat memakan ulam-ulaman. Hakikatnya, ulam-ulaman adalah rahsia penjagaan kesihatan dan antara makanan yang boleh mengekalkan awet muda, di samping bersenam dan diet.

    Khazanah herba ulam raja

    Salah satu khazanah tumbuhan herba iaitu ulam raja atau nama saintifiknya ‘Cosmos Caudatus’ yang berasal dari Amerika Latin tetapi lebih popular dan tumbuh secara liar di kawasan negara-negara Asia Tenggara seperti Malaysia, Indonesia, Thailand dan tidak terkecuali negara kita.

    Tumbuhan ini biasanya tumbuh hingga mencapai dua meter ketinggiannya. Batangnya berwarna hijau tua dan ‘keunguan’ sedikit. Kebiasaannya herba ini bercabang banyak di bahagian atas. Daunnya bergaris bentuk bujur atau segi tiga dengan anak daunnya yang runcing, kesat dan berwarna hijau tua. Bunganya bertangkai panjang, berwarna kuning di tengah, berkelopak putih keunguan.

    Ada yang mengatakan ulam raja ini sebagai raja segala ulam yang mana bukan sahaja berfungsi sebagai pelengkap sesuatu hidangan dengan tarikan bau dan rasa alaminya membangkitkan selera tetapi telah digunakan di dalam perubatan tradisional kerana mempunyai pelbagai manfaat terhadap kesihatan. – Gambar Hiasan
    Salah satu khazanah tumbuhan herba penuh khasiat iaitu ulam raja atau nama saintifiknya ‘Cosmos Caudatus’ yang berasal dari Amerika Latin tetapi lebih popular dan tumbuh secara liar di kawasan negara-negara Asia Tenggara seperti Malaysia, Indonesia, Thailand dan tidak terkecuali negara kita. – Gambar Hiasan
    Dalam kalangan masyarakat Melayu, ulam raja sering dijadikan sebagai hidangan sampingan yang dinikmati bersama sambal belacan sama ada direbus terlebih dahulu atau pun dimakan begitu sahaja. – Gambar Hiasan

    Ia membiak melalui biji benih yang dihasilkan selepas bunganya matang. Ulam raja amat senang ditanam di halaman rumah atau di dalam pasu bunga kerana ia mudah membiak dan membesar dengan cepat.

    Benih ulam raja dari pokok yang matang dan kering boleh ditanam dengan cara menabur di atas tanah dalam pasu atau pun di atas batas kawasan kebun secara berjarak agar tidak terlalu padat. Baja asas dan juga baja organik perlu ditabur dalam tanah yang digunakan bagi memastikan kesuburan tumbesa-rannya. Siram sehingga benih tersebut sehingga tumbuh dengan air yang bersih. Kebiasaannya benih akan tumbuh dalam masa tujuh hingga 10 hari selepas disemai.

    Raja segala ulam

    Ada yang mengatakan ulam raja ini sebagai raja segala ulam. Bukan sahaja berfungsi sebagai pelengkap sesuatu hidangan dengan tarikan bau dan rasa alaminya membangkitkan selera tetapi telah digunakan di dalam perubatan tradisional kerana mempunyai pelbagai manfaat terhadap kesihatan. Secara umumnya, menurut kajian saintifik, ulam raja mengandungi tiga peratus protein, empat peratus lemak dan karbohidrat serta kaya dengan kalsium dan vitamin A.

    Daunnya digunakan secara tradisi untuk melancarkan peredaran dan mencuci darah serta untuk menguatkan tulang. Ulamnya dikatakan mempunyai keupayaan antioksida sangat tinggi iaitu setiap 100 gram ulam raja segar memiliki keupayaan yang sama dengan kandungan antioksida sebanyak 2,400 miligram L-asid askorbik.

    Ulam raja juga mengandungi bahan kimia kloroform yang diekstrak dari daunnya sehingga dapat menghindarkan diri dari serangan bakteria serta fungus. Selain itu, ulam raja ini mampu menambah kandungan oksigen di dalam tubuh badan manusia di mana herba ini juga dapat memberi keseimbangan dan kesegaran pada seluruh tubuh badan dan salah satunya membantu mengekalkan keremajaan diri secara semula jadi dengan membantu melicinkan kulit wajah menjadi semakin anjal.

    Cita rasa bersama ulam raja

    Dalam kalangan masyarakat Melayu, ulam raja sering dijadikan sebagai hidangan sampingan yang dinikmati bersama sambal belacan sama ada direbus terlebih dahulu atau pun dimakan begitu sahaja.

    Di samping itu, untuk menyerlahkan lagi keenakan ulam raja ini, ia juga dapat diberi sentuhan masakan istimewa, salah satunya ialah Ulam Raja Masak Tumis. Untuk membuatnya, sediakan bahan-bahan utama iaitu ulam raja yang segar, bawang merah, bawang putih, lada hidup dan udang kering terlebih dahulu.

    Ulam raja yang telah dibersihkan hendaklah dipotong halus. Manakala bahan-bahan yang lain perlu ditumbuk sehingga sederhana halus sebelum dimasukkan ke dalam kuali yang berisi minyak yang sudah dipanaskan. Setelah bahan-bahan itu pecah minyak, masukkan ulam raja dan gaul hingga sebati, kemudian masukkan garam dan serbuk perasa secukupnya.

    Oleh itu, mari amalkan makan ulam raja biar wajah tampil awet muda dan sihat dalaman dan luaran. Ulam raja sahaja memiliki pelbagai khasiat yang bagus dan baik untuk tubuh badan kita. Lebih mantap lagi jika ia digabungkan dengan pelbagai ulam-ulaman yang lain yang sudah tentunya dapat memberikan kesan kesihatan yang cukup baik dari semasa ke semasa jika diamalkan.

    Selamat mencuba dan menjamu selera bersama ulam raja!

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda