MOSCOW, 26 SEPT – Menteri Wakaf Mesir, Dr Mohamed Mokhtar Gomaa, menyeru ulama kontemporari agar bersatu dalam mendepani ancaman keganasan dan fahaman ekstremisme memandangkan pemikiran songsang ini sudah tersebar merentas sempadan negara.
Katanya, penyebaran ajaran berkenaan ke seluruh dunia itu kini dilakukan sama ada secara langsung dengan merekrut atau tidak langsung melalui saluran media sosial.
“Kita semua kini berhadapan ancaman besar dalam melindungi masyarakat dan pemuda-pemudi kita daripada terperangkap dengan dakyah golongan pengganas dan ekstremis ini.
“Kita mempunyai misi keagamaan, kenegaraan dan kemanusiaan yang penting dalam menghentikan penyebaran fahaman ini dan mengawalnya daripada mendapat tempat di negara baharu seterusnya merekrut pengikut baharu,” katanya ketika berucap pada persidangan antarabangsa bertemakan ‘Islam Pada Zaman Globalisasi… Warisan Islam dan Dialog Kebudayaan’ di Moscow Ahad lalu, seperti dipetik Kesatuan Agensi Berita Negara-Negara Anggota OIC (UNA-OIC).
Beliau juga menggesa agar ajaran Islam ‘diselamatkan’ daripada dijadikan modal politik dan diperdagang demi kepentingan puak atau negara tertentu.
“Islam adalah agama kesejahteraan, ucapan salam kita juga membawa maksud keamanan. Malah mesej yang Islam bawa ke seluruh dunia juga adalah kedamaian,” katanya.
Menurut Dr Mohamed Mokhtar Islam mengiktiraf perbezaan agama, etnik dan mazhab serta menganggapnya sebagai sebahagian kepelbagaian dalam sesuatu bangsa dan negara, namun perbezaan itu perlu disertai rasa hormat-menghormati dan saling memelihara hak antara satu sama lain.
“Sesebuah negara perlu berpegang teguh kepada konsep keadilan dan kemanusiaan serta memelihara kehidupan sejahtera di dalam kalangan rakyatnya, tanpa memandang kepada faktor agama, warna kulit dan jantina adalah negara yang aman serta maju.” – Bernama