Monday, March 31, 2025
27.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Ulang tahun filem Zorro ke-100

    PARIS – Watak pembela, Zorro mengenakan topeng dan pakaian serba hitam, membuat penampilan sulung pada 100 tahun lalu dalam majalah keluaran Amerika Syarikat, sekali gus menjadi ikon antarabangsa bersama Tarzan dan Superman.

    Pejuang bertopeng, Zorro asalnya dicipta oleh pengarang Amerika, Johnston McCulley dan diperkenalkan dalam cerita The Curse of Capistrano yang disiarkan majalah pulp di California selama lima minggu bermula 9 Ogos 1919.

    Berbekalkan kemahiran lawan pedang yang membela masyarakat tertindas, McCulley menyediakan pentas kepada seluruh watak adi wira sepanjang abad.

    Profesor sejarah Amerika, Stephen Andes, mengkaji sejarah dan mitos Zorro berkata, “Zorro ialah pejuang bertopeng yang asal. Sebelum Batman, Superman dan Wonder Woman, Zorro sudah terlebih dahulu wujud.”

    McCulley (1883-1958) menjadi pengarang prolifik yang menulis kira-kira 60 buku mengenai Zorro yang bermakna musang dalam bahasa Perancis tetapi enggan mendedahkan apa yang mengilhamkannya untuk mencipta watak itu.

    Antara babak yang dirakamkan dalam filem Zorro. – Agensi
    Douglas Fairbank, pelakon pertama memainkan watak Zorro – Agensi

    Antara teori yang dikemukakan adalah beliau menyandarkan watak itu kepada perompak jalanan Mexico, Joaquin Murieta, yang membalas dendam terhadap salah guna kuasa di California ketika Gold Rush abad ke-19.

    Teori lain menyatakan beliau mengambil watak Scarlet Pimpernel yang dicipta oleh pengarang kacukan Hungary dan Britain, Emma Orczy, yang menyelamatkan golongan aristokrat sebelum mereka mengirimkannya ke gilotin untuk dihukum pancung ketika Revolusi Perancis.

    “Zorro bertujuan meluahkan semangat bangsawan pada masa itu dan beliau berjaya memenuhi selera semua orang,” tulis majalah Amerika Oakland, Tribune selepas editorialnya mewawancara pengarang berkenaan. Watak itu menjadi alterego kepada bangsawan muda Sepanyol abad ke-19, Don Diego de la Vega, yang kembali ke California selepas belajar di Sepanyol tetapi mendapati kampung halamannya diperintah oleh pemerintah yang korup dan kejam.

    Apabila beliau bertindak mempertahankan orang yang tidak berdaya, dia mengenakan mantel, topi dan topeng hitam yang menutup bahagian atas mukanya. Dia juga terkenal dengan menggunakan pedang untuk meninggalkan tanda ‘Z’ pada orang jahat yang kalah.

    Identiti rahsianya hanya diketahui oleh pembantu yang dipercayai, Bernardo yang bisu dan kuda hitam yang bijak, Tornado. Di skrin, Zorro semakin terkenal.

    Setahun selepas The Curse of Capistrano diterbitkan, ia diadaptasi ke pawagam sebagai filem bisu, The Mark of Zorro yang dibintangi Douglas Fairbanks, ketika itu bintang terkenal Hollywood. Lebih 50 filem Zorro menyusul, sebahagiannya dibuat di Mexico termasuk versi jenaka dan lain-lain.

    Dua filem menampilkan pelakon Sepanyol, Antonio Banderas dan Catherine Zeta-Jones yang menjadi tayangan pecah panggung Hollywood: The Mask of Zorro (1998) dan sekuel The Legend of Zorro (2005). Siri televisyen Walt Disney yang berlangsung sebanyak 78 episod daripada 1957 hingga 1961, kekal popular dan masih ditayangkan di Perancis, misalnya.

    Watak Zorro dilakonkan pelakon Amerika, Guy Williams, iaitu pemain pedang yang melakonkan semua adegan lawan pedang dengan menggunakan senjata sebenar.

    Siri televisyen Zorro lain diterbitkan di Filipina hingga 2009 yang menampilkan hampir 100 episod, manakala telenovela popular bersiaran lebih 110 episod di Colombia.

    Dalam filem, animasi, komik, buku dan permainan video, Zorro diiktiraf oleh pencipta watak Batman, Bob Kane, sebagai pengaruh utama kepada watak ciptaannya yang juga bertopeng dan mengenakan mantel dihasilkan 20 tahun kemudian.

    Dalam buku, Zorro: The Novel terbitan 2005, novelis Chile, Isabel Allende membayangkan latar belakang watak Zorro dengan menggabungkan karektor Robin Hood, Peter Pan dan Che Guevara. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda