Oleh Daniel Lim
BANDAR SERI BEGAWAN, 29 April – Sekolah Menengah Pengiran Anak Puteri Hajah Rashidah Sa’adatul Bolkiah, Lumut, telah meraikan ulang tahun jubli perak penubuhannya dengan majlis sambutan yang diadakan di sekitar sekolah berkenaan, hari ini.
Majlis sambutan berkenaan bukan sahaja bermatlamat untuk memperingati peristiwa penting sekolah berkenaan, tetapi juga untuk menyediakan platform bagi para pelajar dan guru-guru meluangkan masa dengan pelbagai aktiviti pada masa yang sama membantu mempromosikan dan menggalakkan pelajar mengamalkan gaya hidup sihat dan mementingkan kebersihan.
Sambutan itu juga merupakan peluang untuk menggalakkan pelajar dan guru-guru supaya prihatin terhadap anak-anak yatim dan mereka yang kurang berkemampuan dengan meng-hulurkan sumbangan dan mengumpulkan dana.
Hadir merasmikan majlis berkenaan selaku tetamu kehormat majlis ialah ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Awang Hanapi bin Mohd Siput juga ketua Kampung Labi I yang dialu-alukan oleh pengetua sekolah, Dayang Halizawati binti Haji Kepli.
Turut hadir ialah Pemangku Ketua Kampung Lumut I, Haji Abdul Aziz bin Haji Abdul Ghani; Pemangku Ketua Kampung RPN Lumut, Pengiran Haji Ahmad bin Pengiran Haji Mahmud; Pemangku Ketua Kampung Sungai Liang, Haji Mohd Ibrahim bin DMS Dian; Ketua Kampung Lumut II, Haji Abdul Rahman bin Haji Hashim; pengerusi persatuan ibu bapa dan guru-guru sekolah berkenaan, Haji Abdul Rahman bin Haji Hashim serta alumni 1994 sekolah berkenaan, para pelajar, ibu bapa dan penjaga.
Pada majlis itu, tetamu kehormat turut menyempurnakan penyampaian sumbangan kepada anak-anak yatim yang merupakan pelajar sekolah berkenaan dan mereka yang kurang berkemampuan serta menyaksikan penyerahan papan tanda mengandungi mesej Selamat Datang ke RPN Lumut kepada pemangku ketua Kampung Lumut oleh pengetua sekolah tersebut.
Acara telah diisikan dengan gerai-gerai jualan serta pelbagai permainan dan aktiviti menyeronokkan.

