HANOI, 16 DIS – Seekor ular kapak dengan sisik menyerupai bulu mata dan kelawar berhidung daun adalah antara puluhan spesies baharu yang dikenal pasti di rantau Mekong, Asia Tenggara tahun lalu, menurut laporan Dana Sedunia untuk Alam Semula Jadi (WWF), hari ini.
WWF kerap menerbitkan senarai flora dan fauna baharu yang ditemui di kawasan tersebut untuk menekankan kepelbagaian biodiversiti serta ancaman yang dihadapi.
“Rantau ini masih menjadi kawasan subur untuk penerokaan saintifik,” kata WWF, sambil memberi amaran bahawa ‘banyak spesies mungkin pupus sebelum sempat dikenal pasti,’ terutamanya akibat tekanan yang dikaitkan dengan aktiviti manusia seperti penebangan hutan dan perdagangan hidupan liar.
Lembangan Mekong, yang meliputi Kemboja, Laos, Myanmar, Thailand dan Vietnam, merupakan kawasan yang dikenali sebagai pusat biodiversiti, yang menjadi habitat kepada harimau, gajah dan ikan lumba-lumba.
Secara keseluruhan, 234 spesies baharu vertebrat dan tumbuhan vaskular kategori yang tidak merangkumi lumut, alga dan kulat, telah dikenal pasti di rantau berkenaan pada tahun 2023.
Sebahagian spesies ditemui di habitat semula jadi yang terpencil, manakala yang lain dikenal pasti daripada spesimen yang dipelihara di muzium sejarah alam dan taman botani di seluruh dunia.
Antara spesies tersebut ialah ular kapak Asia dengan sisik berwarna perang dan hijau pudina yang menyerupai bulu mata di sekitar matanya. WWF menyatakan ular itu ditemui di kawasan batu kapur di sebuah taman negara di Thailand dan dinamakan limestone eyelash pit viper berdasarkan habitat serta ciri-cirinya yang unik.
Sementara itu, kelawar kecil seberat lima hingga tujuh gram dengan hidung berbentuk daun turut ditemui. Kelawar itu, yang menggunakan hidungnya untuk ekolokasi, pertama kali direkodkan di Thailand namun turut ditemui di Malaysia, menurut WWF. – AFP