JOHOR BAHRU, 16 OGOS – Dengan berat 120 kilogram, liuk gemalainya ular sawa berwarna putih kekuningan yang diberi nama gelaran ‘Minah’, terus menjadi tarikan ramai pengunjung ke rerurai Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) di Program MADANI Rakyat (PMR) 2024 Zon Selatan untuk membelainya.
Walaupun kadangkala ada pengunjung terutama kanak-kanak menjerit kecil kerana ‘geli’ sebaik sahaja menyentuh kulit Minah, namun ular sawa yang berumur 10 tahun itu tetap setia ‘melayan’ pengunjung di reruai tersebut.
Pegawai Bomba dari Balai Bomba Tebrau Noramey Halim berkata ular sawa Burma (Albino Burmese python) yang dibeli sebagai hantaran perkahwinan kira-kira 10 tahun lepas itu adalah teman sejatinya, malah sering bersamanya ketika tidur.
Noramey, 34, berkata ular sawa yang dibeli di sebuah kedai haiwan di Pulau Pinang pada 2014 ketika baru berusia dua bulan itu dinamakan Minah, kerana nama itu mudah diingat dan lebih bersifat kekampungan.
Minah sering dibawanya untuk menyertai pelbagai acara pameran atau pertunjukan, antaranya semasa sambutan Hari Kebangsaan 2023 di Putrajaya dan Sambutan Minggu Perpaduan Peringkat Kebangsaan 2024 di Johor Bahru.
“Saya juga gunakan Minah untuk mengajar atau memberi pengalaman kepada anggota bomba baharu yang geli dan berasa fobia dengan ular, bagi menghilangkan ketakutan.
“Kerja menyelamat kita pun banyak bermain dengan ular, jadi kita kena belajarlah cara mengendalikan haiwan berbisa ini,” katanya ketika ditemui Bernama pada PMR Zon yang berlangsung di Dataran UTM, Skudai selama tiga hari bermula semalam. – Bernama
![](https://mediapermata.com.bn/wp-content/uploads/2024/08/P9-B-Bernama_17082024.jpg)