SYDNEY, 12/13 Januari 2013 – Untuk keseronokan, ia mungkin tidak setanding dengan filem Samuel L Jackson, Snakes On A Plane, namun para penumpang yang menaiki penerbangan Qantas rasa terpesona melihat seekor ular berhempas-pulas dalam dramanya sendiri.
Seekor ular sawa berukuran tiga meter berusaha sedaya upaya untuk mengekalkan cengkamannya pada sayap ketika pesawat sedang dalam penerbangan dari bandar Australia, Cairns ke Port Moresby di Papua New Guinea.
Ular sawa itu mampu bertahan dalam keseluruhan penerbangan yang memakan masa 1 jam dan 50 minit.
Namun, setibanya di Port Moresby, krew lapangan mendapati ular itu tidak bernyawa lagi.
Para penumpang mula menyedari kehadiran reptilia itu 20 minit selepas berlepas. Seorang wanita menunjukkan kepada penumpang-penumpang lain dan krew kabin mengenai keberadaan ular sawa itu.
Kelajuan angin adalah 400km sejam dan suhu negatif 12 darjah Celsius. Badan ular itu tersadai pada sayap dengan meninggalkan kesan darah pada cat berwarna putih kapal terbang berkenaan.
Seorang penumpang, Robert Weber, memberitahu akhbar Sydney Morning Herald: “Penumpang-penumpang yang berada di hadapan tidak sedar dengan apa yang sedang berlaku akan tetapi penumpang-penumpang di bahagian belakang memberikan perhatian sepenuhnya pada ular berkenaan dan memikirkan bagaimana ia boleh berada di atas kapal terbang itu.
“Tidak timbul kepanikan dan sesiapa pun tidak memikirkan bahawa mungkin terdapat ular lain lagi dalam kapal terbang.”
Presiden Pertubuhan Jurutera Pesawat Udara Berlesen Australia, Paul Cousins berkata, nampaknya pada awalnya ular berkenaan memasuki petak mendarat, mungkin tinggal di sana dan kemudian memasuki tempat pemasangan kelepak yang bergerak.