Friday, October 18, 2024
25.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Ulat dalam telur masin, premis makanan diarah tutup

    ALOR SETAR, 17 OKT – Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Kedah mengarahkan sebuah premis makanan di Sungai Petani yang tular kerana menjual telur masin mengandungi ulat baru-baru ini, ditutup serta-merta.

    Pengarah Kesihatan Kedah Dr Ismuni Bohari dalam kenyataan berkata Perintah Penutupan Premis itu dilaksanakan di bawah Seksyen 11 Akta Makanan 1983.

    “JKN Kedah ingin mengesahkan aduan yang diterima melalui Facebook Penduduk Sungai Petani Selasa lalu berkenaan isu kebersihan premis makanan dan penemuan ulat dalam telur masin di sebuah permis makanan di Sungai Petani.

    “Verifikasi aduan juga telah dilakukan dengan pengadu tersebut bagi mengesahkan kejadian yang telah tular di media sosial,” katanya. Beliau berkata Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Kuala Muda telah menjalankan siasatan lanjut semalam dan mendapati premis itu gagal mematuhi keperluan kebersihan premis makanan di bawah Peraturan-peraturan Kebersihan Makanan 2009 Akta Makanan 1983. 

    Ismuni berkata selain perintah penutupan, JKN Kedah turut mengeluarkan satu notis kompaun di bawah Peraturan-peraturan Kebersihan Makanan 2009 terhadap premis terbabit.

    Beliau berkata pemeriksaan semula premis akan dijalankan selepas pemilik dapat mematuhi semua arahan pembersihan dan tindakan pembetulan yang diarahkan oleh PKD Kuala Muda.

    “Pihak JKN Kedah akan terus memantau dan akan sentiasa memastikan premis makanan mematuhi Peraturan-peraturan Makanan di bawah Akta Makanan 1983 bagi mengelakkan kejadian yang sama berulang,” katanya. – Bernama

    Gambar Envato
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda