Thursday, January 30, 2025
21.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Ulos ragidup, warisan berzaman etnik Batak

    SUMATERA – Uli Artha Panggabean merupakan seorang penenun ulos, kain tenunan tradisional suku Batak. Minatnya terhadap tradisi itu semakin mendalam. Penenun berusia 43 tahun itu sering berkongsi dalam talian tentang penebangan hutan yang berlaku di tepi Tasik Toba, Sumatera Utara.

    Kebimbangannya bukan tanpa sebab; banyak bahan mentah yang digunakan untuk membuat ulos datang dari hutan, termasuk kayu untuk membuat alat tenun dan pelbagai jenis tumbuhan untuk membuat pewarna.

    Uli memang minat menenun sejak kecil lagi.

    “Mungkin menjadi penenun ulos sudah menjadi takdir hidup saya. Semakin saya menjauhinya, semakin ia memanggil saya,” kata Uli.

    Uli merupakan penenun ulos generasi ketiga dalam keturunan keluarganya, dengan nenek dan ibunya sebagai penenun sebelumnya. Baik nenek mahupun ibunya tidak mahu Uli menjadi seorang penenun.

    Uli menunjukkan beberapa ulos yang telah dibuatnya. – Gambar ANN/The Jakarta Post
    Alat tenun yang digunakan oleh Uli untuk menenun ulos. – Gambar ANN/The Jakarta Post
    Pelbagai jenis kain-kain ulos daripada etnik Batak. – Travel Kompas

    Seperti kebanyakan ibu bapa suku Batak tradisional, ibunya ingin dia pergi ke sekolah bagi melanjutkan pelajaran, mendapatkan pekerjaan yang bergaji tinggi dan menjadi pekerja pejabat atau penjawat awam, apa-apa sahaja selain menjadi penenun ulos.

    Selepas sekolah, Uli meninggalkan kampungnya dan bekerja di sebuah syarikat di bandar lain. Pada tahun 2013, dia kembali ke kampung halamannya, dengan tekad untuk menjadi seorang penenun ulos.

    Uli pada masa itu sudah mahir menenun beberapa jenis ulos, tetapi ingin menguasai teknik tenunan ulos ragidup, iaitu ulos yang dianggap paling sukar untuk ditenun.

    Dia semakin terikut-ikut dengan obsesinya itu selepas neneknya meninggal dunia pada 2021 pada usia 92 tahun, dan tiada lagi peluang untuk belajar daripadanya.

    “Saya menangis kerana kini terdapat kurang seorang penenun ulos sebenar,” kata Uli.

    Selepas kematian neneknya, dia kembali kepada ibunya dan meminta untuk mengajarkannya teknik tenunan ulos ragidup, yang juga telah dikuasai oleh neneknya.

    Tetapi ibunya enggan memenuhi permintaannya.

    “Dari generasi ke generasi, terdapat mitos bahawa seorang wanita yang tidak kuat semangatnya boleh jatuh sakit atau mati awal ketika belajar menenun ulos. Sudah tentu tiada ibu bapa yang mahu anak perempuan mereka mengalaminya. Ramai penenun percaya mitos tersebut,” kata Uli.

    Oleh kerana neneknya tidak mahu mewariskan ilmunya, ibunya akhirnya memilih untuk belajar menenun daripada penenun lain dan diam-diam memerhati ibunya menenun. Uli mempunyai pengalaman yang sama seperti ibunya.

    “Walaupun ibu saya tidak mengajar saya secara langsung, saya mahu belajar sendiri dengan mengintai cara dia menenun,” katanya. Tetapi semakin Uli cuba belajar daripada ibunya, semakin sukar jadinya.

    “Semangat kami kadangkala seolah-olah sedang berperang; saya tidak tahu mengapa. Mak dan nenek pun dulu macam tu. Walaupun begitu, mungkin kerana hubungan antara ibu dan anak, kami masih merindui antara satu sama lain.”

    Ikuti ritual, nafikan mitos

    Seolah-olah ditakdirkan untuk menjadi seorang penenun ulos, Uli akhirnya menguasai teknik tenunan ulos khususnya teknik tenunan ulos ragidup.

    “Teknik tertinggi dalam tenunan ulos ialah membuat ragidup,” katanya.

    Ketua Pusat Dokumentasi dan Kajian Kebudayaan Batak, Universiti HKBP Nommensen Medan, Manguji Nababan, memberitahu The Jakarta Post bahawa ulos meupakan kain yang terikat secara kekal dengan budaya Batak dan masyarakatnya. Fabrik digunakan pada saat-saat tertentu, dari kelahiran anak hingga perkahwinan dan kematian.

    Nababan berkata ragidup adalah peringkat tertinggi daripada semua ulos dan mengandungi nilai falsafah. Ragidup melambangkan kehidupan, harapan untuk zuriat keturunan, kebahagiaan dan keberkatan umur panjang.

    “Ragidup biasanya mengambil masa 19 hari untuk dihasilkan, dan jika seorang penenun tidak dapat menyiapkannya dalam tempoh tersebut, penenun berkenaan biasanya akan membuangnya,” kata Nababan.

    Seperti yang dinyatakan oleh Uli, pembuatan ulos ragidup dilakukan dalam tiga bahagian.

    Bahagian ketiga adalah yang paling mencabar. Teknik itu digelar sebagai mangarapot.

    Teknik tenunan tersebut menyatukan dua bahagian alat tenun dengan strategi penyambungan benang supaya ulos bercantum dengan sempurna.

    “Menyambung benang merah dengan benang putih, dua bahagian dalam satu jalinan. Itu bahagian yang paling sukar,” kata Uli.

    Sebelum memulakan peringkat yang paling mencabar itu, penenun biasanya memasak daging kerbau, dengan darahnya dipekatkan menyerupai tauhu. Ini adalah sebahagian daripada tradisi yang Uli sebut sebagai ‘kewajipan’. Ia dimasak sepenuhnya dan dimakan dengan rempah tempatan.

    Uli berkata walaupun memakan daging kerbau sebelum menenun adalah bertentangan dengan kepercayaan Kristian yang dipegangnya, dia melakukannya kerana ia adalah sebahagian daripada tradisi dan dia mahu menghormati nenek moyangnya. “Saya tidak mahu mengambil sebarang langkah yang salah; mungkin orang kata saya mengikut animisme, tetapi saya tidak kisah,” kata Uli, yang bapanya merupakan seorang paderi.

    Begitu juga apabila dia mempelajari ilmu tenunan ragidup daripada ibunya, dia juga menunaikan kewajipannya. Dia memberikan telur, ayam dan wang sebagai tanda terima kasih. Ibunya menangis apabila menerima barang-barang tersebut.

    Dia mahu terus menyempurnakan tenunannya, walaupun dia mengaku pernah menganyam ragidup. Salah satu ragidupnya kini dimiliki oleh seorang Batak yang tinggal di Den Haag, Belanda.

    “Saya tahu ada beberapa penenun ulos ragidup, dan jika ilmu yang mereka miliki tidak dipelajari dan disampaikan kepada generasi seterusnya, saya khuatir ilmu ini akan hilang.” – ANN/Jakarta Post

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda