Pelakon Ummi Nazeera pernah menjadi mangsa body shaming ketika zaman kanak-kanak disebabkan memiliki tubuh yang berisi dan lebih tinggi berbanding rakan sebaya.
Ummi atau Ummi Nazeera Nur Hidayah Zainul Abidin, 34, berkata, dia sering menerima kata-kata ejekan malah ada yang sanggup menyamakannya dengan seekor raksasa.
“Dulu semasa saya kecil dalam umur 11 tahun badan saya berisi sebab saya tinggi. Memang ada orang body shaming saya ketika itu dengan memanggil saya Godzilla.
“Sebenarnya badan saya tidaklah begitu besar cuma saya tinggi. Bila dengar tentulah saya sentap, nak pula yang mengejek itu budak lelaki,” katanya kepada mStar.
Ummi berkongsi perkara itu ketika ditemui di sidang media drama Andai Tiada Dia yang berlangsung di Restoran Rebung, Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Mengakui terkesan dengan kata-kata ejekan berkenaan, Ummi bagaimanapun menganggap perkara tersebut sebagai pembakar semangat untuk mengubah penampilan.
Hasilnya, dia berjaya untuk menurunkan berat badan dalam tempoh setahun meskipun pada usia yang masih mentah.
“Ia mengganggu keyakinan diri saya terutama apabila berlaku pada usia muda. Saya tak beri sebarang reaksi terhadap individu tersebut, tetapi saya buat perubahan dan buktikan terhadap diri saya sendiri.
“Ia sebenarnya telah membentuk diri saya. Bayangkan ia berlaku ketika usia saya 11 tahun, pada umur 12 tahun saya terus nekad kurus,” jelasnya. – Agensi