Oleh Imelda Groves HA
BANDAR SERI BEGAWAN, 30 Sept – Sebuah butik yang menampilkan rekaan fesyen anak tempatan serta produk kesihatan dan kecantikan daun bidara, Ummu Iman Hijab telah dilancarkan di Kompleks Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah, hari ini.
Pengarah Urusan dan Pengasas Ummu Iman Hijab, Pengiran Hajah Nurul Huslina binti Pengiran Haji Matahir dalam ucapannya menerangkan mengenai sejarah ‘One Stop Hijab Outlet’ yang ditubuhkan pada tahun 2012 secara online.
Beliau berkata, ini merupakan butik pertamanya yang menyediakan pelbagai barisan fesyen hijab dan pakaian rekaan anak tempatan serta produk kesihatan dan kecantikan dengan menggunakan daun bidara sebagai ramuan utama.
Majlis berkenaan juga di-selajurkan dengan perasmian produk terbaharu mereka iaitu pakaian sukan sedondon bagi Muslimin dan Muslimah yang mana Sport Muslimah akan didatangkan dengan hijab sukan.
Beliau menyatakan, bersempena dengan majlis pelancaran berkenaan, mereka akan memberikan 10 helai hijab sukan mengikut terma dan syaratnya.
Pada akhir ucapannya, beliau berharap agar Butik Ummu Iman akan menjadi platform ‘One Stop Hijab Outlet’ dan menjadi pilihan utama rakyat Brunei dalam mengayakan busana dan hijab yang labuh patuh syarie.
Dalam temu bual ringkas, Pengiran Hajah Nurul Huslina menjelaskan antara yang produk pilihan pelanggan beliau ialah Easy Rossy Tudung dan beberapa produk kecantikan dan kesihatan daripada ramuan daun bidara bagi dewasa, kanak-kanak dan anak damit.
Menurut beliau lagi, bersempena dengan pembukaan rasmi butik pertama beliau ini, cen-derahati minyak masak satu liter diberikan kepada para pelanggannya yang membeli apa saja produk yang terdapat di butik beliau.
Hadir bagi sama-sama melancarkan butik beliau itu ialah ahli keluarga terdekat bersama saudara-mara yang menyaksikan dan meraikan kejayaan beliau dalam membuka butik pertamanya itu.
