Sunday, September 8, 2024
22.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Umpan kegemaran si sepit biru

    Oleh Raz AS –

    Memancing si sepit biru atau udang galah boleh dikatakan lebih rumit berbanding memancing ikan. Ini kerana si pemancing perlu peka dalam mengesan getuan halus si udang galah yang ada kalanya seolah-olah tidak memberi isyarat. Kadang-kadang pula si udang boleh terlepas kerana pancing diangkat terlalu cepat.

    Meskipun begitu dari segi pemilihan umpan, pemancing udang galah lebih bebas membuat pilihan kerana udang galah bukanlah spesies yang memilih, kebanyakan umpan yang dilabuh pasti akan dimakan oleh si udang galah selagi ia ada di kawasan umpan dilabuh.

    Walau bagaimanapun, selera udang galah boleh berubah-ubah mengikut keadaan. Ada masanya sesuatu jenis umpan itu akan menerima sambutan yang lebih meriah berbanding umpan yang lain.

    Oleh yang demikian, pemancing sebaiknya perlu membawa lebih daripada satu jenis umpan, dan melihat umpan manakah yang lebih banyak dijamah oleh si udang galah berbanding hanya memasangkan satu jenis umpan pada kesemua pancing, agar tidak banyak membuang masa menunggu si udang terpikat.

    Cacing tanah boleh dikatakan sebagai umpan tradisi digunakan untuk memancing udang galah.

    Selera udang galah boleh berubah-ubah mengikut keadaan. – GAMBAR OLEH RAZ AS
    Umpan udang merupakan umpan kegemaran digunakan oleh kebanyakan pemancing di negara ini. – GAMBAR OLEH KOCAI FISHING

    Ia merupakan umpan pilihan utama dan wajib dibawa oleh kebanyakan pemancing kerana mampu memikat pelbagai saiz udang galah daripada yang kecil sehinggalah yang bersaiz besar.

    Selain cacing, perumpun atau pumpun juga tidak kurang hebatnya namun ia juga memerlukan penjagaan rapi agar ia tidak mudah mati berbau.

    Manakala itu, hati ayam pula selalunya menjadi pilihan bagi pemancing udang kolam.

    Kerana isinya yang lembut, umpan ini mudah hancur dan terlucut daripada mata kail.

    Sebaiknya jika menggunakan hati ayam, pancing tidak dilontar terlalu kuat bagi mengelakkan umpan daripada lucut, cukup dihulurkan ke bawah sahaja.

    Selain hati ayam, jantung ayam juga boleh digunakan untuk memancing udang galah.

    Isinya lebih kenyal, oleh itu ia tidak mudah tanggal daripada mata kail meskipun pancing dilontar dengan kuat.

    Pemancing juga boleh menggunakan perut atau usus ayam. Ia senang untuk dipasang pada mata kail seperti cacing atau perumpun.

    Sementara itu, isi ikan yang dipotong kecil seperti isi seluang, gapi dan sebagainya sangat popular digunakan untuk memikat jenggo di negara jiran.

    Umpan isi udang merupakan umpan kegemaran digunakan oleh kebanyakan pemancing di negara ini termasuk penulis sendiri.

    Ini hanyalah kerana ia lebih mudah diperoleh, tidak berbau kuat dan tidak meninggalkan kesan kotor pada tangan.

    Tidak kiralah sama ada ingin menggunakan udang siar, bangkutut, bubuk atau udang rostris, ia jarang mengecewakan.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda