Wednesday, December 18, 2024
27.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Umpan, teknik bukanlah segalanya

    Oleh Raz AS –

    Ketika mula-mula bergiat aktif dalam hobi memancing, penulis rajin belajar mengenai pelbagai teknik dan tip.

    Setiap kali pergi berjalan-jalan di hujung minggu penulis akan singgah ke kedai-kedai buku untuk membeli majalah-majalah pancing yang ada.

    Tidak kiralah daripada teknik dan tip memancing, ikatan dan lain-lain, kalau boleh penulis ingin hadam semuanya. Sehingga ketika di depan kaca televisyen bahkan ketika di atas katil hendak tidur pun potongan tali pancing ada di tangan penulis, giat berlatih cara-cara membuat ikatan dan perambut yang ditunjukkan di dalam majalah-majalah tersebut.

    Kalau begitulah keghairahan penulis mendalami pelajaran di sekolah ketika itu, barangkali boleh sampai ke peringkat yang lebih tinggi.

    Namun, meski giat membaca dan mempelajari teknik-teknik dan tip tersebut hasil tangkapan penulis tidak juga jauh berubah. Kadang-kadang ada, kadang-kadang juga merana ‘ampuk’. Sedangkan umpan yang digunakan adalah yang dikatakan ‘terbaik’, warna lure yang dikatakan ‘terbaik’, tali yang dikatakan ‘terbaik’, perambut yang dikatakan ‘terbaik’ dan teknik yang dikatakan ‘terbaik’.

    Memahami keadaan sesuatu padang pancing selalunya dilepas pandang, ramai yang lebih menumpukan kepada umpan dan teknik semata-mata. – Cruise America

    Jika semuanya ‘terbaik’ kenapa boleh terjadinya ‘ampuk’? Kenapa hasil tangkapannya hanya buntal, utik dan bedukang? Kenapa bukan si ikan selungsung, si ikan ungah, si ikan ketambak? Sehingga timbul rasa keraguan mengenai kesahihan teknik dalam artikel-artikel di dalam majalah-majalah tersebut dan hanya membazir wang membelinya.

    Sehinggalah pada satu hari penulis terbaca ungkapan yang menyatakan bahawa kebanyakan pemancing terlalu banyak meluangkan masa belajar teknik berbanding meluangkan masa di padang pancing. Seumpama lebih banyak belajar teori berbanding praktikalnya.

    Mempelajari teknik dan teori tidak dinafikan boleh membawa kepada kejayaan, tetapi apa sebenarnya yang penting adalah pengalaman di dunia sebenar. Memahami keadaan sesuatu padang pancing selalunya dilepas pandang, ramai yang lebih menumpukan kepada umpan dan teknik semata-mata.

    Tidak semua tempat sama. Di satu tempat mungkin ikan suka mencari makan di sana ketika air pasang, di tempat lain mungkin lebih suka ketika surut, walaupun lokasi tersebut terletak di sebatang sungai yang sama. Begitu juga sikap kelakuan ikan yang berbeza-beza meski daripada spesies yang sama disebabkan pelbagai faktor-faktor yang tertentu seperti cuaca, waktu, kejernihan air, suhu dan lain-lain.

    Jadi jika teknik yang digunakan sudah betul apa yang lebih penting untuk meraih kejayaan adalah kita berada di tempat yang betul pada masa yang betul. Untuk memahami sesuatu kawasan tersebut sesetengah pemancing profesional dan berpengalaman mengesyorkan pemancing-pemancing lain untuk merekodkan data di dalam buku nota.

    Di dalam buku nota tersebut, pemancing akan merekodkan data-data seperti mengenai hasil tangkapan, keadaan pasang surut, suhu, tahap kejernihan, waktu dan cuaca.

    Dengan yang demikian pemancing boleh mengenal pasti bilakah sesuatu tempat tersebut memberikan hasil yang lebih lumayan berbanding hari lainnya berdasarkan pengalaman-pengalaman yang lalu.

    Kalau sesuatu tempat itu tiada ikannya, gunalah umpan dan teknik sebaik mana sekalipun, pasti tidak akan ada ‘ulihnya’.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda