Tuesday, April 22, 2025
28.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Umpan tiruan aksi permukaan yang semakin menyerlah

    Oleh Raz AS –

    Pada asalnya direka sebagai umpan tiruan atau lure yang digunakan untuk memikat ikan musky, whopper plopper membadai dunia pancingan ikan bass di Amerika Syarikat dan menjadi salah satu lure aksi permukaan yang wajib dimiliki oleh setiap pemancing di sana.

    Nama whopper plopper sememangnya sesuatu yang tidak pernah atau jarang sekali kedengaran di arena pancing kita. Bahkan mungkin juga ramai antara pemancing-pemancing kita yang belum pernah melihat bagaimana bentuk whopper plopper ini.

    Ini berkemungkinan kerana ia adalah antara rekaan lure terbaharu yang diciptakan beberapa tahun kebelakangan ini. Sedikit sejarah mengenai whopper plopper, konsep di sebalik ciptaannya pertama kali dibuat pada tahun 2008 oleh seorang pemancing ternama Amerika Syarikat, Larry Dahlberg, dan Simon Chan, CEO syarikat River2Sea, yang kedua-duanya merupakan peminat tegar lure aksi permukaan.

    Dahlberg pada ketika itu sangat berminat untuk menciptakan sebuah lure permukaan yang mampu menghasilkan profil bunyi yang berbeza daripada lure permukaan tipikal yang lain dengan berpandukan buzzbait atau prop sebagai ilham. Beliau menginginkan lure yang menghasilkan bunyi seakan-akan burung kecil bermain di permukaan air sebelum terbang.

    Berdasarkan kriteria itu terciptalah sebuah model lure berukuran 190mm, yang kini dikenali sebagai Whopper Plopper 190, yang pada awalnya diperbuat daripada batang penyapu dan ekor getah yang hanya disambungkan menggunakan dawai.

    Ia mempunyai badan yang diperbuat daripada kayu atau plastik keras yang mempunyai bentuk seakan lure jenis spook, tetapi mempunyai bahagian ekor seakan kipas atau propeller yang berpusing di belakang. – GAMBAR OLEH NDYAKANGLER

    Lure tersebut telah berjaya memikat spesies ikan bergigi dan agresif seperti ikan musky, namun begitu mereka mendapati bahawa ikan pemangsa seperti bass yang bersifat oportunistik juga tidak teragak-agak untuk menyambarnya. Oleh yang demikian mereka telah menghasilkan model bersaiz 130mm untuk diperkenalkan kepada pemancing-pemancing ikan bass.

    Dipendekkan cerita, setelah beberapa tahun whopper plopper semakin mendapat tempat di hati para pemancing di sana terutama apabila ramai antara 10 pemenang teratas pertandingan memancing elit di sana menggunakan lure tersebut.

    Berikutan atas kepopularan dan reputasinya yang semakin meningkat pelbagai model dengan saiz yang lebih kecil (70mm dan 90mm) dihasilkan untuk memenuhi kehendak dan keperluan para pemancing.

    Bukan itu sahaja syarikat-syarikat lain pun mula meniru reka bentuk dan menghasilkan versi whopper plopper mereka sendiri, serta penggunaannya seperti mana kebanyakan lure lain yang asalnya digunakan untuk air tawar, ia turut digunakan untuk memancing spesies air masin seperti snook, jack dan lain-lain.

    Whopper plopper mempunyai reka bentuk yang ringkas. Ia mempunyai badan yang diperbuat daripada kayu atau plastik keras yang mempunyai bentuk seakan lure jenis spook, tetapi mempunyai bahagian ekor seakan kipas atau propeller yang berpusing di belakangnya.

    Lure ini akan terapung secara mendatar atau horizontal di atas permukaan air, dan ekornya akan berpusing-pusing apabila gulungan dilakukan, menghasilkan bunyi unik “plop,plop,plop” dan buih di permukaan air.

    Kunci kejayaan whopper plopper adalah atas sifatnya yang versatil. Seakan menggunakan buzzbait, selagi mana ekornya berpusing dan menghasilkan bunyi ia akan dapat menarik perhatian ikan pemangsa, akan tetapi kelebihannya jika dibandingkan dengan buzzbait adalah kebolehannya untuk sentiasa terapung. Dengan itu ia boleh digulung dengan laju atau perlahan atau juga dengan mengaplikasikan kaedah ‘gulung dan berhenti’ dan lain-lain lagi mengikut kreativiti pemancing dan aksi yang diminati oleh ikan.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda