KOTA KINABALU, 26 JUN – Universiti Malaysia Sabah (UMS) berpotensi untuk dibangunkan sebagai inkubator akuakultur di negara ini, kerana UMS satu-satunya universiti awam yang mempunyai fasiliti untuk penetasan benih ikan dan udang krustasia.
Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata fasiliti yang terdapat di inkubator akuakultur, Institut Penyelidikan Marin Borneo UMS, mampu mengeluarkan benih-benih ikan yang sesuai untuk dibangunkan dalam industri akuakultur di negara ini.
“Universiti ini satu-satunya yang ada inkubator ini dan kementerian akan memberi perhatian untuk membantu memperkasakan inkubator ini, ia bukan sahaja menepati soal keterjaminan makanan dari segi bekalan ikan, tetapi juga memberi peluang kepada mana-mana pihak yang ingin menjadi usahawan.
“Pembiakan (benih) telah dilakukan dan ia sudah sampai ke peringkat yang sepatutnya dipindahkan kepada masyarakat ilmu ini (pembenihan),” katanya kepada pemberita selepas merasmikan bangunan Inkubator Akuakultur di UMS di sini, hari ini.
Hadir sama Pengerusi Lembaga Pengarah UMS, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan, dan Naib Canselor UMS Prof Datuk Dr Kasim Mansor.
Inkubator akuakultur UMS mula beroperasi pada hujung tahun lepas, dengan dilengkapi lapan tangki induk ikan marin, tangki induk atau benih (16 unit) dan tangki pelbagai saiz bagi pembenihan ikan. Ia juga mempunyai sistem bekalan air laut dan air tawar terawat, sistem pengudaraan, makmal penyelidikan dan bilik pentadbiran. – Bernama
![](https://mediapermata.com.bn/wp-content/uploads/2023/06/P9-Lead-UMS_27062023.jpg)