LABUAN, 8 SEPT – Universiti Malaysia Sabah (UMS) memperkasa pelancongan pendidikan atau edutourism digital sebagai inisiatif penting dengan menggabungkan pembelajaran akademik, teknologi dan pengalaman dunia nyata bagi memupuk kemahiran insani, kreativiti, dan inovasi.
Program tersebut mengintegrasikan realiti maya (VR), realiti terimbuh (AR), Internet benda (IoT) dan kecerdasan buatan (AI), sekali gus memberi peluang interaktif kepada pelajar untuk meneroka tapak bersejarah, pusat sains dan warisan budaya secara maya.
Ahli Parlimen Labuan, Datuk Dr Suhaili Abdul Rahman ketika merasmikan program ICT-Edutourism: Educonnect Beyond Borders Edisi Borneo di UMS Kampus Antarabangsa Labuan (UMSKAL) hari ini, berkata usaha itu membolehkan pelajar menghubungkan pengetahuan akademik dengan pengalaman dunia sebenar serta memupuk minat dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).
“Sebagai Ahli Parlimen, saya menyokong sepenuhnya inisiatif yang mampu membentuk generasi celik digital, kreatif dan berdaya saing di peringkat global,” katanya.
Berkongsi pandangan sama, Naib Canselor UMS, Profesor Datuk Dr Kasim Mansor berkata edutourism bukan sekadar aktiviti luar bilik darjah tetapi menjadi penghubung antara pengetahuan akademik dan pengalaman dunia sebenar.
“Program ini memberi peluang kepada pelajar mengaitkan teori dengan amali, selain menghargai warisan khazanah tempatan serta mengasah bakat dalam komunikasi, kepimpinan dan pemikiran kritis,” katanya.
Beliau berkata sebagai sebuah universiti terletak di Borneo yang kaya dengan biodiversiti dan kepelbagaian budaya, UMS telah lama menerajui sektor edutourism melalui pembelajaran berasaskan pengalaman. – Bernama


