KOTA KINABALU, 3 OKT – Universiti Malaysia Sabah (UMS) perlu bergerak seiring dengan hala tuju Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) yang menggariskan tumpuan meningkatkan kualiti pendidikan termasuk membangunkan bakat modal insan yang memenuhi standard keperluan industri.
Sehubungan itu, Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor mahu UMS mewujudkan persekitaran pendidikan tinggi berkualiti agar mampu menjadi pusat ilmu yang unggul dalam menghasilkan graduan berdaya saing dan berinovasi serta memenuhi keperluan tenaga kerja mahir pada masa depan.
Hajiji yang juga Pro-Canselor UMS turut menggalakkan universiti itu termasuk institut pengajian tinggi lain di Sabah memperkukuhkan kerjasama dengan pemain industri dalam aktiviti penyelidikan, pembangunan, pengkomersialan dan inovasi.
“Kerajaan negeri yang mengamalkan mesra pelabur amat memerlukan graduan berpengetahuan dan berkemahiran untuk memenuhi permintaan industri,” katanya pada
Majlis Ikrar dan Aku Janji sempena Minggu Suai Mesra Sesi 2023/2024 Kali Ke-29 UMS di sini hari ini.
Hajiji berkata kerajaan Sabah juga komited memberi kerjasama kepada UMS dalam meningkatkan kemajuan serta tahap pendidikan tinggi negara selaras dengan Hala Tuju Sabah Maju Jaya yang antara lain memberi penekanan kepada sektor perindustrian, pertanian dan pelancongan sebagai teras memulihkan ekonomi termasuk pembangunan modal insan. – Bernama
