Umum pusat serenti dadah baharu

BANDAR GENERAL SANTOS, Filipina, 17 Dis – Pusat serenti dadah yang dibiayai oleh kewangan China di wilayah Sarangani, selatan Filipina telah selesai dan diserahkan kepada kerajaan setempat, menurut pengumuman yang dibuat oleh para pegawai dari China dan Filipina hari ini.

Kemudahan itu, yang dipanggil sebagai Pusat Pemulihan dan Rawatan Penyalahgunaan Dadah SOCCSKSARGEN terletak di Saragani sebagai pembinaan bantuan China pertama di Filipina.

Kedutaan China berkata pusat berkenaan, yang memiliki ruang seluas 6,707.6 meter persegi, boleh memuatkan kira-kira 150 buah katil dalam pentadbiran dan bangunan klinik. Turut terdapat sebuah dewan serba guna, bangunan asrama, bengkel dan dewan lawatan di pusat berkenaan yang dibangunkan oleh Koperasi Kejuruteraan Pembinaan Negara China (CSCEC).

“Ia adalah pusat bagi harapan dan kehidupan yang baharu. Penyiapan pusat berkenaan sepenuhnya menggambarkan kerajaan China tidak akan membiarkan warga Filipina menderita,” kata Kaunselor Komersial dan Ekonomi kedutaan China.

“Presiden Filipina Rodrigo Duterte mengutamakan pembangunan ekonomi dan kesejahteraan rakyatnya dan China akan terus menjadi sebuah jiran yang baik, sahabat yang ikhlas dan rakan rapat Filipina,” katanya, dengan menambah China menyokong usaha Duterte ke arah meningkatkan tahap kesihatan rakyatnya. – Xinhua

Gambar fail bertarikh 14 November lalu menunjukkan Duterte ketika mendengarkan satu ucapan semasa sidang kemuncak ASEAN-China di Singapura. – AP