SERENDAH, 29 Nov – UMW Aerospace Sdn Bhd, anak syarikat UMW Holdings Bhd, hari ini berjaya menyampaikan perumah bilah kipas pertamanya untuk enjin Rolls Royce Trent 1000.
Perumah kipas yang dihasilkan untuk enjin Rolls-Royce Trent 1000 yang menggerakkan Boeing 787 Dreamliner, akan dihantar ke pusat pemasangan dan fasiliti pengujian enjin Roll-Royce di Seletar Aerospace Park, Singapura.
Pengerusi Kumpulan Tan Sri Hamad Kama Piah Che Othman berkata, penghantaran sulung berkenaan menjadi mercu tanda dalam perjalanan luar biasa syarikat itu yang telah bermula pada 12 Ogos 2015 apabila UMW Aerospace memeterai perjanjian 25+5 tahun dengan Rolls-Royce bagi mengeluarkan dan memasang perumah kipas untuk enjin Rolls Royce Trent 1000 dan Trent 7000.
“Ini menjadikan UMW Aerospace sebagai syarikat Malaysia pertama yang menjadi pembekal Tier 1 kepada Rolls-Royce.
“Hari ini menjadi catatan sejarah yang signifikan bagi Kumpulan UMW kerana kita telah membuktikan keupayaan dalam pembuatan bernilai tinggi.
“Kita telah berjaya menyampaikan perumah kipas pertama untuk Rolls-Royce seperti yang dijadualkan di bawah kontrak jangka panjang,” kata Hamad Kama Piah kepada media selepas majlis penyiapan pertama perumah kipas itu di sini hari ini.
Kumpulan itu dikenali di Malaysia sebagai sebuah syarikat automotif dan peralatan perniagaan, telah berkembang kepada pengeluaran industri komponen aeroangkasa dan pencapaian itu bertepatan dengan sambutan ulang tahun keseratus UMW tahun ini, katanya. – Bernama