GENEVA, 26 NOV — Jumlah individu yang dijangkiti HIV pada tahun lalu mencatatkan penurunan terendah sejak wabak itu memuncak pada penghujung 1980an, menurut Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB).
Bagaimanapun, Program Bersama Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu mengenai HIV/AIDS (UNAIDS) memberi amaran bahawa kadar penurunan itu masih terlalu perlahan. Laporan baharu UNAIDS menunjukkan bahawa sekitar 1.3 juta orang dijangkiti HIV pada 2023. Angka itu lebih tiga kali ganda daripada yang diperlukan untuk mencapai sasaran PBB bagi mengakhiri AIDS sebagai ancaman kesihatan awam menjelang 2030.
Menurut laporan itu, sekitar 630,000 orang meninggal dunia akibat penyakit berkaitan AIDS tahun lalu, angka terendah sejak kemuncak 2.1 juta kematian pada 2004. Kemajuan itu banyak dikaitkan dengan rawatan antiretroviral yang berkesan mengurangkan jumlah virus dalam darah pesakit. Namun, daripada hampir 40 juta individu yang hidup dengan HIV di seluruh dunia, sekitar 9.3 juta masih tidak menerima rawatan.
UNAIDS juga melaporkan 28 negara turut mencatatkan peningkatan kes jangkitan HIV pada tahun lalu. Usaha untuk menyediakan rawatan pencegahan, Profilaksis Pra-Pendedahan (PrEP), di negara-negara tersebut masih jauh ketinggalan.
“Hanya 15 peratus individu yang memerlukan PrEP menerimanya pada 2023,” menurut laporan itu.
UNAIDS turut menekankan bahawa undang-undang dan amalan diskriminasi terhadap penghidap HIV menjadi penghalang utama dalam memerangi penyakit itu.
“Dunia boleh membasmi AIDS, jika hak asasi manusia bagi mereka yang hidup dengan atau terkesan oleh HIV dihormati, dilindungi dan dipenuhi, untuk memastikan perkhidmatan HIV yang saksama, boleh diakses dan berkualiti tinggi,” kata pengarah eksekutif UNAIDS, Winnie Byanyima dalam laporan itu. – AFP