Tuesday, December 24, 2024
27.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Uncle Roger peka keluhan ramai

    KUALA LUMPUR – Pelawak dan pencipta kandungan kelahiran Malaysia, Nigel Ng, yang lebih dikenali dengan nama dalam taliannya Uncle Roger, nampaknya tahu cara untuk menenangkan penggemar makanan yang kurang puas hati.

    Beliau membuka restoran nasi goreng pertamanya, Fuiyoh! It’s Uncle Roger, di pusat membeli-belah Pavilion Kuala Lumpur pada bulan September, dan menambah dua lagi cawangan di pusat beli-belah MyTown di Kuala Lumpur dan IPC Shopping Centre di Selangor pada bulan Disember.

    Namun, ulasan mengenai usaha pertama Nigel Ng dalam bidang makanan dan minuman bercampur-campur.

    Seorang pencipta kandungan makanan mengkritik perkhidmatan yang lambat di cawangan Pavilion, dengan mendakwa menunggu selama satu jam untuk hidangan nasi gorengnya dihidangkan, manakala warga maya lain merasakan harga RM18 ($5.40) untuk nasi goreng tomato asas adalah terlalu mahal.

    Dengan mengambil maklum balas tersebut secara serius, Nigel Ng telah mengumumkan harga makanan di restorannya diturunkan.

    Dalam satu reel Instagram yang dimuat naik pada 17 Disember, Nigel Ng menulis di kapsyen sebagai Uncle Roger, “Haiyaa… kenapa banyak sangat kekeliruan. Uncle Roger mahu sahkan semua nasi goreng dan mi sekarang RM16 di semua cawangan. Fuiyoh!”

    Ng menjadi viral pada tahun 2020 kerana mengkritik video BBC Food mengenai cara memasak nasi goreng telur dengan menggunakan persona Uncle Roger, seorang lelaki Asia pertengahan umur dengan loghat Kantonis yang sengaja dilebih-lebihkan, bercakap dalam bahasa Inggeris yang tidak sempurna, dan menggunakan frasa seperti ‘haiyaa’ dan ‘fuiyoh’.

    Uncle Roger sebelum ini bergurau dalam video TikTok untuk saluran kandungan makanan Best Food Malaysia bahawa beliau menurunkan harga kerana pusat beli-belah MyTown kurang mewah berbanding Pavilion.

    Katanya, “Di Pavilion, tingkat bawah ada Gucci, Louis Vuitton, Hermes. Di MyTown tingkat bawah ada… (kedai runcit barangan rumah mampu milik) Mr DIY, haiyaa! Kalau pusat membeli-belah ada Mr DIY, tak boleh caj RM18, terlalu mahal.” – ANN/The Straits Times

    Nigel Ng telah menurunkan harga di cawangan nasi gorengnya di Malaysia selepas menerima maklum balas bahawa harganya terlalu tinggi. – Instagram
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda