Friday, December 6, 2024
22.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Undang-undang generasi bebas asap rokok diperkenal di UK

    LONDON, 5 NOV – Satu undang-undang baharu di seluruh United Kingdom (UK) yang bertujuan mewujudkan generasi bebas asap rokok pertama akan diperkenalkan di Parlimen negara itu hari ini sebagai sebahagian daripada rancangan kerajaan untuk mengurangkan tekanan ke atas perkhidmatan kesihatan.

    Rang Undang-Undang (RUU) Tembakau dan Vape yang menghalang sesiapa yang lahir selepas 1 Januari 2009 daripada merokok secara sah dengan menaikkan had umur minimum secara berperingkat untuk membeli produk tembakau.

    RUU berkenaan adalah serupa dengan RUU yang pernah dicadangkan oleh pentadbiran Konservatif sebelumnya.

    Bagaimanapun, perundangan berkenaan terpaksa ditangguhkan pada awal tahun ini selepas bekas Perdana Menteri Britain, Rishi Sunak mengumumkan pilihan raya umum (PRU) UK.

    Perdana Menteri Britain, Keir Starmer daripada kerajaan baharu Parti Buruh, telah memulihkan semula cadangan berkenaan yang merupakan sebahagian daripada usaha untuk meningkatkan langkah pencegahan kesihatan.

    Gambar Canva

    RUU itu akan memperkenalkan sekatan ke atas pengiklanan dan penajaan vape, serta mengehadkan perisa, paparan dan pembungkusan rokok elektronik bagi mengurangkan tarikan kepada kanak-kanak dan golongan muda.

    Langkah berkenaan adalah susulan daripada pengumuman pada Oktober lalu bahawa penggunaan akan diharamkan di UK pada tahun depan di bawah undang-undang berasingan.

    RUU itu juga mencadangkan untuk memperluas larangan merokok sedia ada kepada kawasan luar seperti taman permainan kanak-kanak dan kawasan luar hospital.

    Menurut Setiausaha Kesihatan UK, Wes Streeting, ia merupakan perundangan kesihatan awam yang bersejarah.

    Ia akan membawa makna bahawa kami sedang mewujudkan generasi bebas asap pertama di negara kami. Maka anak-anak yang membesar di UK hari ini tidak akan dapat membeli rokok dari segi undang-undang,” katanya.

    Bagaimanapun, Streeting berkata tiada larangan merokok akan dikenakan di pub di England. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda