Thursday, December 26, 2024
23.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Undang-undang media sosial dipertimbang di parlimen Australia

    MELBOURNE, 21 NOV – Menteri Komunikasi Australia memperkenalkan undang-undang baharu yang pertama di dunia di parlimen hari ini yang melarang kanak-kanak bawah 16 tahun daripada menggunakan media sosial, dengan mengatakan keselamatan dalam talian adalah salah satu cabaran terbesar bagi ibu bapa.

    Michelle Rowland berkata platform seperti TikTok, Facebook, Snapchat, Reddit, X dan Instagram antara yang akan dikenakan denda sehingga A$50 juta dolar jika gagal menghalang kanak-kanak daripada mempunyai akaun.

    “Rang undang-undang ini bertujuan untuk menetapkan nilai norma baharu dalam masyarakat bahawa akses kepada media sosial bukanlah ciri utama untuk kanak-kanak di Australia,” kata Rowland kepada Parlimen.

    “Ini adalah pengiktirafan luas bahawa sesuatu perlu dilakukan dengan segera untuk membantu mengelakkan remaja muda dan kanak-kanak terdedah kepada kandungan tanpa penapis yang tidak terhad,” tambahnya.

    Rang undang-undang itu mendapat sokongan politik yang meluas. Setelah menjadi undang-undang, platform-platform tersebut akan diberikan satu tahun untuk merangka cara untuk melaksanakan sekatan umur tersebut.

    “Bagi ramai remaja Australia, media sosial boleh memberi kesan buruk,” kata Rowland.

    “Hampir dua pertiga daripada remaja berumur 14 hingga 17 tahun di Australia telah melihat kandungan yang sangat berbahaya dalam talian termasuk penyalahgunaan dadah, bunuh diri atau mencederakan diri sendiri serta bahan kekerasan. Satu perempat daripada mereka terdedah kepada kandungan yang menggalakkan tabiat pemakanan tidak sihat.”

    Penyelidikan kerajaan mendapati bahawa 95 peratus penjaga di Australia menganggap keselamatan dalam talian sebagai salah satu ‘cabaran terbesar dalam tanggungjawab ibu bapa,” katanya.

    Media sosial mempunyai tanggungjawab sosial dan boleh melakukan lebih baik dalam menangani bahaya di platform mereka, tambahnya. – AP

    Michelle Rowland memperkenalkan Rang Undang-undang Pindaan Keselamatan Dalam Talian di Dewan Perwakilan di Parlimen Canberra, kelmarin. – AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda