Jumaat, 21 November 2025
24.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    UNESCO iktiraf Raja Ampat, Indonesia sebagai rizab biosfera

    JAKARTA, 30 Sept – Raja Ampat, sebuah kepulauan terkenal di wilayah Papua Barat, Indonesia diiktiraf sebagai rizab biosfera. Antara 30 rizab biosfera baharu yang diiktiraf UNESCO, Raja Ampat dianggap sebagai ekosistem marin paling kaya dengan biodiversiti di dunia.

    Pengiktirafan ini menandakan satu lagi pencapaian penting selepas Raja Ampat menerima gelaran Geopark Global UNESCO pada 2023, menjadikannya antara lokasi di dunia yang memegang dua gelaran antarabangsa UNESCO secara serentak, lapor Agensi Berita Vietnam, Vna.

    Rizab itu meliputi kira-kira 135,000 kilometer persegi dengan lebih 610 pulau dan hanya 34 daripadanya berpenghuni.

    Terletak di tengah Segi Tiga Terumbu Karang (Coral Triangle), kawasan itu memiliki ekosistem terumbu karang terkaya di dunia dengan lebih 75 peratus spesies karang, lebih 1,320 spesies ikan terumbu, serta lima spesies penyu laut yang terancam dan jarang ditemui termasuk penyu Hawksbill.

    Dengan dua pengiktirafan antarabangsa, Raja Ampat diiktiraf bukan sahaja kerana warisan geologi yang unik, tetapi juga kerana kepelbagaian biologi yang luar biasa.

    Menurut UNESCO, rizab biosfera bertindak sebagai ‘makmal hidup’ ketika komuniti, saintis dan kerajaan bekerjasama atas tiga tonggak utama: memulihara biodiversiti dan landskap, mempromosikan pembangunan sosioekonomi lestari serta meningkatkan kefahaman melalui penyelidikan, pendidikan, latihan dan perkongsian ilmu.

    Kini, dunia mempunyai lebih 700 Rizab Biosfera di lebih 130 negara, meliputi lebih lima peratus keluasan daratan dan berperanan sebagai model keseimbangan antara pemuliharaan dan penggunaan lestari bagi kira-kira 275 juta penduduk yang tinggal di kawasan itu. – Bernama/Vna

    Sebahagian kawasan Wayag, Raja Ampat, Indonesia – GAMBAR UNESCO
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda