NEW YORK, 28 Sept – Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNGA) telah menerima pakai satu deklarasi politik bagi menggerakkan usaha mempercepat langkah menangani penyakit tidak berjangkit (NCD), lapor agensi berita China Xinhua.
Dokumen itu membabitkan komitmen bagi mengurangkan satu pertiga kematian pramatang akibat NCD menjelang 2030, selaras dengan Agenda Pembangunan Mampan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) 2030.
Meskipun mengakui kemajuan yang dicapai oleh sesetengah negara dalam mengawal empat NCD utama iaitu penyakit kardiovaskular, diabetes, kanser dan penyakit pernafasan yang kronik, teks itu mengiktiraf tindakan bagi merealisasi komitment tersebut sebagai tidak memadai.
Deklarasi itu meminta setiausaha agung PBB, dengan kerjasama Pertubuhan Kesihatan Sedunia dan pihak lain yang relevan, menyerahkan kepada Perhimpunan Agung satu laporan berhubung kemajuan yang dicapai dalam pelansanaannya menjelang akhir 2024.
Teks itu, bertajuk ‘Time to Deliver: Accelerating our response to address NCDs for the health and well-being of present and future generations’, telah diterima pakai pada Mesyuarat Peringkat Tinggi Perhimpunan Agung ketiga berkaitan Pencegahan dan Pengawalan NCD.
Menyifatkan langkah itu sebagai ‘bercita-cita tinggi dan seimbang’, Presiden UNGA, Maria Fernanda Espinosa Garces menyeru perhatian kepada fakta bahawa sebilangan besar orang yang berusia antara 30 dan 70 tahun akan meninggal dunia pada 2018, disebabkan oleh NCD.
Mereka yang paling miskin mungkin menderita akibat penyakit seperti kanser, diabetes dan kardiovaskular. – Bernama